• Jurugambar Terima Sumbangan PM

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+
    SEREMBAN: Bekas jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Mohd Hamzah Md Som, yang diserang strok dua bulan lalu, mendapat perhatian Datuk Seri Najib Razak, yang menghulurkan sumbangan peribadi.

    Sumbangan disampaikan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles, kepada Mohd Hamzah, 52, dan isteri, Zaida Sabtu, 49, ketika mengunjungi rumah pasangan itu di Taman Kobena, Senawang di sini, hari ini.

    Ketika ini, Hamzah berkhidmat sebagai jurugambar Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Negeri Sembilan.

    Akmar berkata, bantuan kewangan itu membantu meringankan beban keluarga Mohd Hamzah terutama menampung kos rawatan.

    "Kami berharap sumbangan ini akan membantu beliau dan berdoa supaya beliau cepat sembuh," katanya.

    Turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Abdul Karim Mustafa.

    Sementara itu, Zaida berkata dia dan keluarga sangat menghargai sumbangan berkenaan dan berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri.

    "Suami saya masih menjalani rawatan fisioterapi di Klinik Kesihatan Senawang dan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dua kali seminggu, selain mengambil ubat-ubatan yang disarankan doktor.

    "Dia sudah menunjukkan perkembangan positif walaupun lengan kanannya masih lemah," katanya.

    Mohd Hamzah pula berkata beliau tersentuh dengan perhatian dan keprihatinan Perdana Menteri.

    "Saya bermotivasi untuk kembali bekerja dan bersama rakan sekerja lain bagi membuat liputan sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Saya berharap dapat menyumbang kepakaran pada hari bersejarah itu, tidak lama lagi, "katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jurugambar Terima Sumbangan PM "