• Jurubedil Antara Ditahan Bantu Siasatan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+

    Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kerja meletup batu bukit tanpa mematuhi peraturan di sebuah tapak pembinaan di Taiping yang turut mengakibatkan kerosakan harta awam, semalam.

    Dalam kejadian pada 12.30 tengah hari, seorang kontraktor, penyelia dan dua jurubedil berusia antara 47 hingga 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati syarikat pemaju sedang dalam proses pembinaan lot kedai dan sebuah kelab di lokasi berkenaan.

    Katanya, syarikat berkenaan melantik dua jurubedil untuk memecahkan batu bukit sedalam enam meter bagi tujuan pembinaan itu.

    "Ketika kejadian, bahan letupan diletakkan dalam 10 lubang dalam dua barisan menghadap jalan utama.

    “Semua lubang ditimbus dan ditutup dengan tiga keping besi seberat satu tan untuk tujuan keselamatan.

    "Selepas letupan berlaku tiba-tiba batu-batu besar yang berada di tepi bukit yang digunakan untuk membuat jalan bagi membolehkan jentera 'crawler drill' naik ke atas bukit untuk mengorek lubang letupan, runtuh dan menghempap tiang lampu isyarat dan bertaburan di sebahagian jalan menyebabkan kerugian kira-kira RM1,500,” katanya.

    Menurutnya, tiada kecederaan dan kerosakan pada harta benda lain, namun semakan mendapati syarikat itu mempunyai lesen membeli, membawa dan menggunakan bahan letupan.

    Bagaimanapun katanya, syarikat itu tidak mematuhi syarat dengan memaklumkan secara bertulis kepada jabatan berkaitan serta tidak memaklumkan kepada penduduk sekitar tiga hari sebelum kerja letupan dijalankan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Letupan 1957, dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jurubedil Antara Ditahan Bantu Siasatan "