• Jumlah Penagih Dadah Wanita Meningkat- AADK

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+


    SEREMBAN: Jumlah penagih dadah wanita direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di negara ini, meningkat sebanyak tiga peratus atau 208 orang kepada seramai 948 orang sepanjang tahun lalu.

    Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin, berkata pada tahun 2016, seramai 740 wanita didapati terbabit dengan gejala itu, dengan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding pada tahun 2015.

    Katanya, remaja wanita seawal usia 17 tahun adalah antara penagih dadah yang dikesan terbabit dengan penagihan dadah, selain mereka berusia lingkungan 20 sehingga 40 tahun.

    "Walaupun peningkatan penagihan dadah dalam kalangan wanita tidak banyak, ia masih perlu dilihat secara serius mulai sekarang kerana kita tidak mahu statistik ini terus meningkat.

    "Seperti yang kita sedia maklum ketika ini semakin ramai wanita merokok dan itu adalah antara punca yang dipercayai membawa mereka kepada gejala penagihan dadah," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Perangi Dadah Habis-Habisan Sempena Tahun Baharu Cina di Stesen Terminal One di sini, hari ini.

    Abd Halim berkata, pihaknya mengesan beberapa faktor lain yang menyebabkan peningkatan penagih dadah dalam kalangan wanita termasuk kerana bekalan mudah peroleh, desakan rakan, gaya hidup dan kurang ketahanan diri.

    Justeru, katanya, sokongan masyarakat dan pelbagai agensi lain diperlukan supaya dapat membantu AADK mengurangkan gejala penagihan dadah di negara ini.

    Sementara itu, Abd Halim berkata, dalam Operasi Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina bermula 9 Februari lalu sehingga hari ini di 25 terminal bas seluruh negara, seramai enam pemandu bas dikesan positif dadah.

    Katanya, jumlah itu diperoleh selepas pihaknya menjalankan saringan awal terhadap 2,325 pemandu bas.

    "Jumlah ini berkurang sebanyak 40 peratus berbanding tahun lalu, apabila seramai 10 pemandu bas dikesan positif dadah selepas menjalankan saringan terhadap seramai 2,778 pemandu bas.

    "Bagaimanapun, statistik ini menunjukkan masih ada pemandu bas yang menyalahgunakan dadah dan pemeriksaan secara berkala akan terus dilakukan," katanya.

    Bagi Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina pula katanya, ujian saringan terhadap 2,281 penunggang motosikal mendapati, seramai 431 orang dikesan positif dadah.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jumlah Penagih Dadah Wanita Meningkat- AADK "