• 'Julia, Hatiku Kau Hancurkan'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+

    “Kami datang dari Negeri Sembilan untuk bertunang, tapi terkejut apabila tiada sesiapa yang mengenali bakal tunang di Kampung Demit ini.”

    Demikian luahan perasaan terkejut mangsa mahu dikenali sebagai Muzaffar, 32, yang mendakwa ditipu seorang wanita sehingga kerugian RM3,000 dalam kejadian di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kota Bharu, Sabtu lalu.

    Muzaffar yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan mendakwa mengenali wanita dikenali sebagai Julia itu sejak empat tahun lalu selepas diperkenalkan rakannya.

    “Sepanjang perkenalan, saya hanya pernah berjumpa sekali dengan wanita itu di Banting, Selangor. Selebihnya kami berhubung menerusi panggilan telefon.

    “Saya memasukkan wang secara berperingkat ke akaun milik rakan wanita itu sejak pertengahan Disember lalu hingga awal bulan ini hingga mencapai jumlah RM3,000.

    “Wang itu bagi membeli cincin untuk pertunangan dan mencari rumah tumpangan di Kampung Demit untuk penginapan keluarga saya ketika majlis berlangsung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Muzaffar berkata, selepas menyerahkan wang itu, wanita berkenaan meminta keluarganya yang tinggal di Negeri Sembilan datang ke Kelantan bagi majlis merisik dan bertunang pada 3 Februari lalu.

    Katanya, keluarganya datang ke Kelantan dan cuba menghubungi wanita terbabit beberapa kali sebaik tiba di Gua Musang hingga mereka sampai di lokasi majlis dekat Kubang Kerian.

    “Namun, wanita itu tidak menjawab panggilan saya hingga kami pergi ke Masjid Kampung Demit berjumpa dengan penduduk kampung.

    “Kami begitu kecewa kerana penduduk kampung tidak mengenali wanita itu sebelum saya membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Ibrahim Sharif mengesahkan laporan dibuat mangsa dan siasatan sedang dijalankan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Julia, Hatiku Kau Hancurkan' "