• Julaihi Kekal, 2 Doktor Dipilih Naib Presiden PBB

    Published: Saturday, 10 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Dua doktor perubatan 'diangkat' sebagai Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi sayap Bumiputera selepas mendapat sokongan padu daripada perwakilan pada Perhimpunan Agung PBB yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

    Mereka terdiri daripada Dr Annuar Rapaee dan Dr Abdul Rahman Junaidi yang masing-masing memperolehi 764 undi dan 719 undi.

    Penyandang jawatan tersebut, Datuk Julaihi Narawi memperolehi undi tertinggi selepas mendapat 770 undi.

    Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut berjaya menempatkan diri untuk jawatan tersebut selepas meraih 698 undi.

    Tiga lagi calon merangkumi Dr Abdul Rahman Ismail memperolehi 585 undi, Datu Len Talif Salleh (481 undi) dan Datuk Talib Zulpilip (329 undi).

    Keputusan pemilihan tersebut diumumkan Pengerusi Tetap PBB Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

    Julaihi yang ditemui selepas pengumuman pemilihan berkata, kemenangan tersebut adalah hasil kerjasama dan bantuan perwakilan.

    "Semua yang bertanding adalah kawan saya dan kami semua cukup mengenali antara satu sama lain.

    "Saya boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja walaupun terdapat muka baharu berjaya menempatkan diri bagi jawatan ini," katanya.

    Dr Annuar pula menyifatkan keputusan tersebut amat baik dan kebanyakan undi tidak mempunyai perbezaan ketara.

    "Perbezaan undi tidak begitu jauh. Lebih menarik lagi naib presiden kali ini menyaksikan gabungan muka lama dan baharu," ujarnya.

    Dr Abdul Rahman berkata, pemilihan jawatan tersebut bukan untuk menentukan menang atau kalah tetapi lebih kepada pertandingan adik beradik.

    "Kami dipilih ini diamanahkan untuk menggalas usaha untuk menjayakan perancangan kerajaan menerusi ekonomi digital," jelasnya.

    Tambahnya, kemenangan tersebut boleh dianggap sebagai kemuncak dalam karier politiknya yang bermula di peringkat ranting.

    Sementara itu, Karim menjelaskan, pemilihan tersebut lebih kepada perlawanan dalam keluarga.

    "Semua yang bertanding mempunyai jawatan menteri dan mempunyai kelebihan tersendiri.

    "Ini adalah percubaan pertama saya bagi jawatan ini dan gembira kerana berjaya menempatkan diri," kata Karim.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Julaihi Kekal, 2 Doktor Dipilih Naib Presiden PBB "