• Jual Pasport Palsu RM300

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+
    IPOH: Jabatan Imigresen membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen antarabangsa, termasuk pasport dari tiga negara, dalam serbuan di sebuah rumah di Ampang, Selangor, malam tadi.

    Dalam serbuan jam 10 malam di sebuah rumah teres itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia 44 tahun dipercayai dalang utama sindiket berkenaan, ditahan.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata siasatan awal mempercayai sindiket itu sudah beroperasi k ira-kira dua tahun dan mengeluarkan dokumen palsu kepada beratus warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

    "Hasil soal siasat mendapati suspek memperoleh keuntungan RM3,000 hingga RM5,000 sebulan hasil kegiatan itu dan purata keuntungan sehingga kini hampir mencecah RM80,000," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Pasukan Khas Jabatan Imigresen di Kem Briged Utara, Kem Ulu Kinta, dekat sini, hari ini.

    Mustafar berkata, suspek didapati pakar dalam melakukan pengubahsuaian pasport yang sudah tamat tempoh atau milik orang lain khususnya Indonesia, Bangladesh dan Pakistan, secara manual mengikut kehendak pelanggan.

    Beliau berkata, suspek mampu menyiapkan satu dokumen dalam tempoh empat jam hingga 24 jam, bergantung pada stok bekalan.

    Mereka juga, katanya. hanya menerima tempahan melalui kenalan atau individu yang dibawa oleh kenalannya sahaja, dengan terus datang ke rumah sewa itu yang dijadikan pusat operasi.

    "Suspek menjual pasport yang sudah dipalsukan pada harga antara RM200 dan RM300 di pasaran Malaysia, manakala Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dijual antara RM50 dan RM150 sekeping.

    "Buku Nikah Indonesia yang sudah dipalsukan pula dijual pada harga RM100," katanya.

    Mustafar berkata, suspek juga mendapatkan bekalan pasport dan buku nikah dengan cara menyeludupnya secara berperingkat iaitu tiga hingga lima keping bagi setiap perjalanan, dibantu rakan senegara dari kawasan Madura, Indonesia.

    "Dalam serbuan malam tadi, kami menemui 10 pelekat PLKS palsu, 32 pasport Indonesia, enam pasport Bangladesh dan dua pasport Pakistan disyaki diubah suai, 12 buku nikah kosong, dua pelekat visa Malaysia palsu, 70 koyakan butiran utama penama pasport Indonesia diubah suai serta dua kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) palsu.

    "Kami juga merampas peralatan untuk mengubah suai pasport, masing-masing satu kad pengenalan penduduk tetap Malaysia dan lesen memandu Malaysia yang disyaki palsu.

    "Selain itu,, sejumlah cop keselamatan negara Indonesia yang disyaki palsu, cop keselamatan Imigresen Malaysia dan Singapura yang juga palsu," katanya.

    Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kegiatan berkenaan, termasuk memburu beberapa lelaki yang disyaki menjadi anggota sindiket berkenaan.

    Pada masa sama, katanya, jabatan itu bekerjasama dengan kedutaan negara terbabit untuk membuat pemeriksaan dan pengesahan terhadap semua dokumen terbabit. - BHOnline

    Subjects:

    Nasional
  • No Comment to " Jual Pasport Palsu RM300 "