• Jual ikan terubuk dan kek lapis guna internet

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+


    KUCHING: Portal beli-belah atas talian, cmasa.my, membuka ruang kepada peniaga ikan terubuk dan kek lapis Sarawak mengiklankan produk ke arah menggalakkan ekonomi berteraskan digital.

    Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM), Datuk Abibullah Samsudin, berkata kedua-dua produk yang menjadi simbol penting sektor pelancongan Sarawak itu perlu diberi nafas baharu dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada strategi pemasaran konvensional.

    "Portal beli-belah dalam talian berkenaan hanya membenarkan produk berkualiti tinggi untuk diiklankan. Jadi, peniaga ikan terubuk dan kek lapis perlu menaik taraf piawaian pembungkusan kerana ia elemen pemasaran yang cukup signifikan.

    "Tidak bolehlah kekal bergantung kepada pembungkusan jenis lutsinar semata-mata dan kurang berkualiti. Perubahan kaedah pemasaran menerusi dalam talian adalah lebih besar dan menguntungkan kerana jangkauan pasaran lebih luas," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

    Portal cmasa.my kini mengiklankan 1,000 unit simpanan stok (SKU) dan menyasarkan pertambahan kepada 5,000 SKU bagi tempoh lima tahun akan datang.

    Sementara itu, Abibullah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif YaPIEM menggalakkan masyarakat Islam Sarawak melakukan simpanan emas bersama Ar Rahnu YaPIEM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan menerusi pelaburan emas.

    "Sebenarnya tidak ada pelaburan emas, yang ada adalah anda mengeluarkan wang untuk memiliki emas. Ar Rahnu YaPIEM menyediakan pelbagai timbangan bar emas tulen bermula dari 0.5 gram.

    "Jadi, semua lapisan masyarakat mampu memiliki emas bagi tujuan simpanan," katanya.

    Beliau berkata, pihaknya sedang mencari kaedah menaikkan kadar gadaian kepada 75 peratus, berbanding 70 peratus nilai gadaian ketika ini.-BHOnline
  • No Comment to " Jual ikan terubuk dan kek lapis guna internet "