• Jual Dadah Online

    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    Beli dadah atas talian. Itu taktik digunakan pengedar dadah bagi memastikan kegiatan mereka tiada dalam ‘radar’ polis.

    Namun, taktik dua lelaki berusia 24 dan 33 tahun itu gagal mengaburi polis selepas mereka ditahan di sebuah rumah di Taman Dusun Indah Fasa 1, Batu Kawa, semalam.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan hasil risikan dan maklumat awam 10 pagi.

    Menurutnya, polis menemui beg di dalam almari yang berisi syabu seberat 5.1 gram.

    “Dadah itu dibungkus dalam empat bungkusan lut sinar mempunyai ketulan kristal.

    “Dua suspek mengakui mendapat bekalan berkenaan dengan pengedar tertentu di daerah ini dan bayaran dibuat menggunakan transaksi bank tanpa melakukan sebarang pertemuan.

    “Sebaik bayaran sudah dibuat, dadah yang ditempah akan diletakkan di lokasi tertentu sebelum diambil suspek,” katanya. Aidil berkata, suspek bukan saja membeli dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri tetapi juga untuk dijual kepada penagih lain.

    Katanya, suspek yang positif methapetamin itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-myMetro
  • No Comment to " Jual Dadah Online "