• JPN perkukuh ciri keselamatan menerusi myIdentity

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengukuhkan ciri keselamatan kad pengenalan menerusi perkhidmatan sistem myIdentity yang boleh diakses oleh agensi kerajaan sebagai platform pengesahan identiti pemilik bagi urusan rasmi.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata selain myIdentity, sistem Agency Link-Up System (ALIS) menjadi platform semakan bagi badan berkanun manakala Sistem Pengesahan MyKad (SPM) digunakan oleh sektor kewangan untuk menyemak dan mengesahkan maklumat individu yang menggunakan kad pengenalan bagi mengelakkan berlakunya penipuan.

    Katanya, aplikasi dan ciri keselamatan kad pengenalan yang dikeluarkan dilindungi dengan penggunaan teknologi canggih sekali gus menjamin keselamatan maklumat pada pangkalan data JPN.

    "Selain itu, maklumat dalam cip kad pengenalan tidak boleh dipinda dan hanya boleh dibaca dengan menggunakan alat pembaca kad selepas mendapat kebenaran lisan atau pengesahan biometrik pemiliknya bagi mengelakkan penyelewengan.

    "Orang ramai juga perlu bertanggungjawab menjaga kad pengenalan mereka dengan baik untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan dan berhati-hati semasa memberikan akses maklumat peribadi kepada pihak lain.

    "Bawa kad pengenalan pada setiap masa seperti yang termaktub dalam Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sementara itu, seramai 296 individu yang terbabit dalam kes pemalsuan kad pengenalan berjaya ditangkap dari sejak 1 Januari tahun lalu sehingga hari ini dan kesemuanya dijatuhkan hukuman di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " JPN perkukuh ciri keselamatan menerusi myIdentity "