• JPA Perjelas Isu PTD Hanya Untuk Graduan Kelas Pertama Sahaja

    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan laporan bahawa hanya graduan kelas pertama tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sahaja yang ditawarkan untuk jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam perkhidmatan awam.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini JPA berkata, syarat perlantikan jawatan PTD masih kekal seperti yang ditetapkan dalam syarat skim perkhidmatan, dan terbuka kepada semua graduan berkelayakan.

    “Untuk makluman, proses pengambilan PTD yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) masih lagi terbuka kepada semua graduan yang berkelayakan dan bukan hanya kepada calon yang mempunyai Ijazah Kelas Pertama sahaja,” kata kenyataan tersebut.

    JPA menambah pihaknya mengambil maklum penularan berita palsu mengenai pengambilan graduan kelas pertama untuk memasuki jawatan tersebut.

    Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, bagi sesi pengambilan Julai dan Ogos ini peluang sebagai PTD hanya terbuka kepada graduan kelas pertama tajaan JPA sahaja.

    Ali berkata pihaknya menguna pakai model dari negara jiran yang mengambil tiga pelajar cemerlang untuk diserapkan ke dalam perkhidmatan awam dan melepaskan yang lain kepada sektor swasta.

    "Kita mahu menjalankan eksperimen. Sebelum ini, kita ambil semua graduan kelas pertama, kelas kedua atas dan kelas kedua bawah. Sekarang kita mahu melihat sama ada kumpulan graduan cemerlang ini boleh melaksanakan tugas dengan baik atau tidak," katanya memetik Sinar Harian.

    JPA berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melantik lebih ramai graduan cemerlang dengan menggalakkan mereka memohon jawatan dalam sektor awam.

    “Bagi pengambilan PTD yang sedang dilaksanakan sekarang, urusan ini akan berjalan seperti biasa,” katanya.

    Untuk syarat penuh bagi jawatan PDT, boleh klik di sini.- MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " JPA Perjelas Isu PTD Hanya Untuk Graduan Kelas Pertama Sahaja "