• Jokowi Dijangka Kekal Presiden Indonesia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+


    JOKO Widodo atau Jokowi dijangka tidak berdepan masalah mempertahankan kedudukannya sebagai orang nombor satu Indonesia dalam Pemilihan Presiden 2019 (Pilpres 2019).

    Memetik sumber Okezone News, pemimpin berusia 56 tahun itu tidak ada masalah untuk mengekalkan jawatan yang dimenanginya pada 2014 biar siapa pun yang menjadi pencabarnya.

    Antara yang disebut-sebut bakal mencabar Jokowi dalam Pilpres 2019 termasuk seteru lama Prabowo Subianto, Agus Harimurti Yudhoyono, Anies Baswedan dan Gatot Nurmantyo.

    Bagaimanapun Pengarah Eksekutif Poltracking Indonesia, Hanta Yuda ketika membentangkan hasil kaji selidiknya berkata peluang untuk mereka memenangi hati pengundi agak tipis berbanding Jokowi.

    Berdasarkan kaji selidik berkenaan, sekiranya berdepan Prabowo yang juga pencabarnya dalam Pilpres 2014, Jokowi mampu memperoleh 57.6 peratus undi berbanding hanya 33.7 peratus untuk Prabowo.

    Andai lawannya nanti adalah Agus yang juga anak sulung bekas presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Jokowi dijangka mendapat undi lebih besar iaitu 64.7 peratus.

    Hanya 14.6 peratus dijangka memilih Agus, sementara 20.6 peratus pula belum buat sebarang keputusan.

    Sekiranya terpaksa berdepan naib presiden ketika ini Jusuf Kalla, Jokowi bukan hanya menang malah jumlah undinya lebih besar iaitu 66.4 peratus, berbanding 6.9 peratus undi untuk Jusuf.

    Kaji selidik ini melibatkan 1,200 responden dan dilakukan dari 27 Januari hingga 3 Februari lepas. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Jokowi Dijangka Kekal Presiden Indonesia "