• JKN Sarawak Serius Perangi Hepatitis A

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+


    Berikutan dengan mesej yang tular di media sosial berkenaan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB)Samarahan kepada semua klinik di Bahagian Samarahan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan menjalankan pemeriksaan rapi terhadap sebarang kes yang mempunyai tanda-tanda klinikal seperti Penyakit Hepatitis A yang disyaki datang dari kawasan Kota Samarahan, khususnya di Kampung Asajaya Laut.

    Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata, pemeriksaan dijalankan adalah disebabkan dua kes yang telah dilaporkan melibatkan dua penduduk yang menetap dari Kampung Asajaya Laut telah mendapatkan rawatan di hospital swasta sebagai pesakit luar.

    Menurutnya Hepatitis A adalah merupakan salah satu penyakit bawaan makanan dan air dan tanda-tanda klinikal kebanyakannya pesakit mengalami tanda-tanda yang tidak spesifik seperti loya, muntah, letih, cirit-birit, demam, kencing berwarna gelap dan jaundis (warna kuning pada mata putih dan kulit).

    Sehubungan itu katanya, JKN Sarawak telah dan sedang melaksanakan aktiviti berterusan seperti pemantauan rapi melalui laporan dari semua klinik dan hospital termasuk swasta.

    “JKN Sarawak telah melakukan ujian kualiti air terawat di kawasan terbabit dan mendapati ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Oleh yang demikian, aktiviti pengesanan kes secara aktif telah bermula pada 15 Februari lalu sehingga kini.” katanya melalui satu laporan media yang dikeluarkan semalam.

    Menjelas lanjut Jamilah berkata, pihaknya akan meningkatkan aktiviti pendidikan kesihatan dan langkah-langkah pencegahan Hepatitis A kepada masyarakat setempat terutamanya berkaitan kepentingan kebersihan diri, kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman (dimasak secara sempurna) serta kebersihan persekitaran.

    Justeru, orang ramai diseru agar memasak air sebelum digunakan walaupun bekalan air di rumah telah ditapis.

    JKN Sarawak juga menasihati orang ramai yang mengalami tanda-tanda klinikal penyakit Hepatitis A  tampil dan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran dengan segera.

    Pengesanan dan rawatan awal dapat mencegah komplikasi penyakit dan menyelamatkan nyawa.-Sarawakiana


  • No Comment to " JKN Sarawak Serius Perangi Hepatitis A "