• Jiwa Raga Saya Untuk Rakyat Batang Sadong - Nancy

    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    BATANG SADONG : Memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong sejak memenangi kerusi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Datuk Seri Nancy Shukri berjaya membuktikan kepada pengundi bahawa mereka membuat pilihan tepat apabila memilihnya sebagai wakil rakyat.

    Meskipun sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, namun pemimpin berusia 57 tahun berdarah kacukan Iban, Cina dan Scotland ini tidak pernah gagal turun kawasan untuk bertemu rakyat bagi bertanya masalah dan keperluan mereka pada setiap kali mempunyai kelapangan terutama hujung minggu.

    Justeru, tidak hairanlah wajah beliau sentiasa boleh dilihat menghadiri pelbagai majlis dan aktiviti bersama penduduk.

    Pada masa sama, beliau berjaya membawa banyak kemajuan dan pembangunan untuk rakyat di kawasan berkenaan sepanjang dilantik sebagai Ahli Parlimen.

    Menurut Nancy, beliau menyerahkan sepenuh jiwa raga kepada kawasan mempunyai kira-kira 50,000 penduduk itu dan ikhlas melaksanakan tugas diamanahkan bagi memastikan kawasan diwakili dapat membangun secara holistik.

    Katanya, beliau percaya telah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan dan sumber yang ada dengan seimbang untuk masyarakat daripada semua sudut seperti infrastruktur, sosio-ekonomi, pendidikan, kemudahan awam dan lain-lain.

    “Insya-Allah, usaha ini akan dilakukan secara berterusan tanpa mengambil kira pilihan raya atau tidak, saya sentiasa turun padang dan bukannya bermusim seperti pembangkang.

    “Jika berada di Kuching, saya berasa bersalah tidak turun ke kawasan untuk memenuhi permintaan merasmikan program jemputan terutama hujung minggu, tiada istilah rehat bagi saya kecuali mengambil cuti,” katanya ketika ditemui di sini.

    Menurutnya, jika tiada aktiviti rasmi, beliau akan mengadakan program ‘ziarah kamek’ (ziarah kami) iaitu melawat penduduk yang memerlukan bantuan sambil menyerahkan ‘buah tangan’, membawa doktor mengikut keperluan, pihak kebajikan dan daerah.

    Mengenai pembangunan, Nancy memberitahu, beliau akan bergerak secara berpasukan bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen berkenaan untuk merancang apa perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah rakyat agar tidak wujud pertindihan.

    “Sebelum ini, Batang Sadong kurang membangun tetapi keadaan berubah selepas siapnya pembinaan Jambatan Batang Sadong yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jambatan Gedong,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Nancy mengakui masih ada kawasan yang tidak mendapat bekalan air terawat, berikutan tekanan dan saluran paip yang usang tetapi kerajaan sudah mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah tersebut cuma memerlukan masa. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Jiwa Raga Saya Untuk Rakyat Batang Sadong - Nancy "