• Jim Carrey bebas tuduhan kes sivil teman wanita

    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+
    LOS ANGELES: Pelakon komedi, Jim Carrey terselamat daripada perbicaraan sivil membabitkan insiden bunuh diri teman wanitanya pada 2015, selepas kes itu digugurkan oleh mahkamah.

    Sebelum ini, bekas suami mangsa, iaitu Mark Burton dan ibunya, Brigid Sweetman memfailkan tuntutan terhadap Carrey susulan kematian Cathriona White akibat pengambilan dadah berlebihan.

    Kedua-duanya menuduh aktor berusia 56 tahun itu menggunakan nama palsu bagi memberi dadah untuk kegunaan White.

    Burton dan Sweetman juga mendakwa Carrey yang terkenal dengan filem komedi bertajuk 'The Mask', 'Liar Liar' dan 'Ace Ventura: Pet Detective' menyebabkan White mengidap tiga penyakit yang disebarkan menerusi hubungan seksual.

    "Apa yang boleh saya katakan, kes ini sudah digugurkan dan saya tidak boleh mengulasnya dengan lebih lanjut," pegawai publisiti Carrey kepada AFP.

    Sementara itu, dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles menunjukkan permohonan untuk menggugurkan tuntutan kes itu dikemukakan oleh plaintif pada 25 Januari lalu.

    Perkara itu disahkan oleh pegawai mahkamah tetapi tidak boleh mendedahkan secara lanjut berhubung perkara itu.

    Sementara itu, firma guaman yang mewakili plaintif, Eagan Avenatti dalam satu kenyataan berkata, adalah kurang tepat jika pengguguran kes itu ditafsirkan sebagai Carrey sudah 'dibersihkan' atau kes itu 'dibuang'.

    "Tiada bukti bagi menunjukkan perkara itu, ia sama sekali tidak benar. Terma pengguguran kes secara sukarela dan perkara sebenar juga tidak pernah didedahkan," kata pengasas bersama firma itu, Michael Avenatti.

    Dalam tuntutan yang difailkan pada September lalu, Carrey didakwa menggunakan 'kekayaan dan status selebritinya' untuk mendapatkan dadah opioid untuk White.

    Burton menuduh pelakon itu membeli dadah dengan menggunakan nama 'Arthur King' dan kemudiannya bertindak menyembunyikan bukti pembabitannya dan memberi kenyataan mengelirukan selepas kematian teman wanitanya itu. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Jim Carrey bebas tuduhan kes sivil teman wanita "