• Jentera Berat, Balak Bernilai RM2.5 juta Dirampas Di Lawas

    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+

    gambar hiasan

    LAWAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri berjaya merampas sebanyak 1,100 batang kayu balak, tiga jentolak, sebuah jengkaut serta tiga lori pengangkut balak bernilai kira-kira RM2.5 juta semalam.

    Cubaan sebuah syarikat pembalakan yang menebang kayu balak secara haram dari kawasan hutan di Beriwan, Ba’ Kelalan di sini gagal apabila kegiatan mereka berjaya dihidu dalam satu operasi yang dijalankan pagi semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion Ke-12 PGA Miri Superintenden Tan Hiap Seng berkata, dalam serbuan yang dijalankan seorang lelaki berbangsa cina berusia 45 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

    Menurutnya, serbuan berkenaan dijalankan adalah hasil dari risikan yang dijalankan oleh anggota dari risikan Kompeni C Batalion Ke-12 PGA Limbang diketuai ASP Azhar Mohammad.

    “Lokasi tersebut hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda memakan masa 45 minit perjalanan dari bandar Lawas dan ketika pemeriksaan sedang dijalankan, suspek mengakui dirinya sebagai juruukur di kawasan longgokan kayu balak tersebut, namun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan apabila diminta berbuat demikian,” katanya.

    Menjelas lanjut, Tan berkata ia merupakan rampasan terbesar yang dilakukan dan menegaskan bahawa pihak PGA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pembalakan haram.

    Suspek serta hasil rampasan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Lawas untuk tidakan selanjutnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Jentera Berat, Balak Bernilai RM2.5 juta Dirampas Di Lawas "