• Jemput Pihak Asing Pantau PRU-14 Cemar Kedaulatan, Sistem demokrasi Malaysia - Budiman

    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+


    SHAH ALAM - Hasrat Pakatan Harapan yang dikepalai DAP mahu menjemput badan bebas asing memantau perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap satu cubaan tidak bertanggungjawab yang mencemarkan kedaulatan serta sistem demokrasi negara ini.

    Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, sistem demokrasi serta perjalanan pilihan raya yang diamalkan di negara ini sebenarnya sudah cukup baik dan telus selain menyaksikan parti-parti pembangkang sendiri berjaya menguasai beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

    “Justeru, apakah desakan yang dibuat mereka (Pakatan Harapan) ini secara tidak langsung menyatakan kemenangan mereka di negeri-negeri terbabit tidak sah?.

    “Sesungguhnya perjalanan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan secara telus memandangkan kesemua calon bertanding dibenarkan melantik ejen mewakili mereka di setiap pusat dan saluran pengundian sepanjang tempoh mengundi dan kiraan undi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Pada masa sama, Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu yakin bahawa hasrat serta tuntutan Pakatan Harapan untuk menjemput badan bebas asing itu sebagai satu taktik bagi mencetuskan persepsi buruk terhadap perjalanan pilihan raya di negara ini.

    Katanya, rakyat Malaysia tidak mungkin lupa tindakan pihak pembangkang pada pilihan raya umum lalu menyebarkan fitnah kononnya 40,000 pengundi Bangladesh dibawa masuk ke negara ini.

    “Sesungguhnya permainan persepsi dan fitnah adalah suatu lumrah dan makanan harian pihak pembangkang,” tegasnya.

    Semalam, Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor mendesak kerajaan mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU-14. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Jemput Pihak Asing Pantau PRU-14 Cemar Kedaulatan, Sistem demokrasi Malaysia - Budiman "