• Jawatankuasa Bersama Kerajaan Persekutuan, Negeri Untuk Kurang Birokrasi Pelaksanaan Projek

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Penubuhan jawatankuasa bersama antara kerajaan pusat dan negeri yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengurangkan karenah birokrasi dalam pelaksanaan projek di negeri ini.

    Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, penubuhan jawatankuasa yang dicadangkan kepada Najib itu akan bertindak sebagai badan penilai ke atas projek-projek yang akan dilaksanakan di Sarawak.

    "Saya akui bahawa penyaluran dana daripada kerajaan pusat mempunyai banyak birokrasi dan ini adalah satu-satunya cabaran kepada kita di peringkat negeri.

    "Kadang-kadang, peruntukan ada tetapi pelaksanaan agak lambat kerana perlu melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan EPU itu sendiri tidak tahu di mana tempat yang kita mahu bangunkan," kata seperti dilaporkan Utusan Borneo.

    Tambahnya, jawatankuasa tersebut akan membolehkan kedua-dua pihak (kerajaan pusat dan negeri) mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk melaksanakan apa sahaja projek untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

    "Inilah keadaanya di Sarawak ini dan saya telah mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya ditubuhkan jawatankuasa bersama dalam pelaksanaan projek yang kita akan laksanakan di negeri ini," ujarnya. - Sarawakiana


  • No Comment to " Jawatankuasa Bersama Kerajaan Persekutuan, Negeri Untuk Kurang Birokrasi Pelaksanaan Projek "