• Jangan Salahkan Cuaca Semata-Mata - Kim Shin

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    MIRI: Kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini, menunjukkan sikap 'acuh tidak acuh' segelintir pemaju hartanah terhadap kepentingan sistem perparitan di lokasi pembangunan masing-masing.

    Bagi Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, insiden itu bukan berpunca daripada cuaca semata-mata, termasuk hujan lebat sejak beberapa hari lalu, sebaliknya juga kelemahan dari segi kemudahan saliran sedia ada.

    "Jangan salahkan cuaca semata-mata. Kita perlu meneliti semua aspek berkaitan, termasuk sikap sambil lewa pemaju hartanah dalam penyediaan sistem perparitan moden di kawasan pembangunan mereka.

    "Sikap sedemikian harus diubah kerana menyusahkan pelbagai pihak, khususnya rakyat yang terpaksa menanggung kerugian akibat banjir kilat, terutama dalam keadaan musim tengkujuh di Sarawak ketika ini," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan mengejut ke beberapa lokasi berisiko banjir di sekitar bandar raya ini, selain meninjau sendiri keadaan sistem perparitan sedia ada, pagi tadi.

    Kim Shin turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), terutama Majlis Bandaraya Miri (MBM), untuk memastikan perkara itu tidak berulang.

    "Jika sikap pemaju seperti itu dibiarkan, isu banjir kilat di kawasan bandar seperti yang berlaku kelmarin sehingga menyusahkan kehidupan rakyat, termasuk murid tidak dapat bersekolah, tidak akan berakhir.

    "Justeru, MBM dan agensi berkaitan perlu lebih kerap turun padang untuk memastikan sikap sambil lewa ini diatasi. Malah untuk mana-mana cadangan projek hartanah baharu di bandar raya, pihak pemaju juga perlu mengemukakan pelan sistem perparitan dan saliran mereka sebelum diluluskan," katanya.

    Mengulas lanjut, Kim Shin berkata, banjir kilat melanda kawasan perumahan Taman Tunku, Eco Park dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tukau kelmarin, berpunca daripada sistem saliran tersumbat.

    Beliau berkata, masalah itu sepatutnya ditangani lebih awal sebelum tiba musim tengkujuh, terutama oleh PBT dengan meningkatkan aspek penyelenggaraan.

    "Banjir kilat di kawasan bandar dapat dielakkan jika longkang dan parit bersih serta tidak tersumbat. Ini memerlukan proses penyelenggaraan dan pembersihan yang berterusan secara berkala oleh PBT di kawasan seliaan masing-masing.

    "Kadar hujan yang tinggi seperti direkodkan di kawasan Miri tahun ini, mendorong banjir kilat mudah berlaku jika tiada sistem perparitan baik," katanya. - BHOnline
  • No Comment to " Jangan Salahkan Cuaca Semata-Mata - Kim Shin "