• Janda Kantoi Sedang Lalok

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    Tindakan ibu tunggal beranak 10 berkhayal bersama-sama adik dan anak saudara lelakinya mengundang padah apabila ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di Kampung Padang Chicar, Kuala Ketil, Baling, hari ini.

    Dalam operasi bermula 12 tengah malam hingga 10 pagi, wanita berusia 42 tahun itu antara lapan penagih dadah yang ditahan di sekitar Taman Muslim, Kampung Padang Chicar, Taman Desa Bidara dan Kampung Pak Bong.

    Ketua Unit Penguatkuasa AADK Baling Nor Hajar Aswat Kamis berkata, operasi itu dijalankan bersama Skim Ronda Sukarela (SRS), Unit Kawalan Kampung (UKK) dan imam menahan penagih berusia 19 hingga 42 tahun.

    Katanya, ketika ditahan, wanita terbabit dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah dan paling menyedihkan siasatan juga mendapati anak sulungnya berusia 20-an turut terbabit dalam gejala itu, namun ketika kejadian dia tiada di rumah.

    “Ketika disoal siasat, wanita itu memberitahu dia berkahwin dengan bekas suaminya yang juga penagih dadah ketika berusia 15 tahun.

    “Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan 10 anak, dan dia sudah berpisah dengan suaminya sejak lima tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan media.

    Katanya, lebih menyedihkan ada antara anak-anak wanita itu yang tidak bersekolah.

    “Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Baling dan ujian saringan air kencing mendapati positif dadah morfin dan methamphetamin.

    “Mereka dihantar ke Pusat Tahanan Reman, Serdang untuk siasatan selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Janda Kantoi Sedang Lalok "