• Jamil Khir Berjaya Batal Saman PEMANGKIN

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, hari ini, berjaya membatalkan saman dikemukakan terhadapnya oleh Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) berhubung dakwaan salah laku dan usaha menutup yayasan itu.

    Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datin Faizah Jamaludin, membenarkan permohonan Jamil Khir untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan tiga plaintif pada 1 Mac tahun lalu.

    Tiga pihak yang bertindak selaku plaintif adalah PEMANGKIN dan dua pengasasnya, Datuk Mohd Yusoff A Bakar, 66, serta Ahmad Fazil Hashim, 62.

    Peguam Adnan Seman yang mewakili Jamil Khir memberitahu pemberita, mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya untuk membatalkan saman itu selepas mendapati writ saman dan pernyataan tuntutan berkenaan tidak mendedahkan kausa tindakan munasabah.

    "Datin Faizah juga mendapati tuntutan saman terbabit adalah mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta ia satu penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

    Faizah membuat keputusan itu dalam kamar hakim yang turut dihadiri peguam Datuk Suhaimi Kamaruddin yang mewakili plaintif.

    Selain Jamil Khir, plaintif dalam samannya turut menamakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah PEMANGKIN, Datuk Shahlan Ismail, 59; Mohd Yusof Abd Rahman, 62, dan Mokhtar Abdul Razak, 59; Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abibullah Samsudin, 58; Pengarah Undang-Undang YaPEIM, Sharina Ramli, bekas setiausaha syarikat itu, Normala Embi, 54; dan YaPEIM selaku defendan kedua hingga kelapan.

    Mahkamah sama membatalkan saman PEMANGKIN terhadap tujuh defendan terbabit pada 10 November tahun lalu.

    Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, plaintif memohon perisytiharan bahawa PEMANGKIN adalah sebuah entiti yang berdiri sendiri dan bukan anak syarikat kepada mana-mana syarikat atau yayasan serta pertubuhan lain.

    Mereka juga memohon perisytiharan, bahawa arahan dan tindakan Jamil Khir serta tujuh defendan lain supaya PEMANGKIN menjadi syarikat yang tidak aktif (dorman), adalah bertentangan dengan undang-undang. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jamil Khir Berjaya Batal Saman PEMANGKIN "