• Jalan Raya Jadi Tempat Helikopter Mendarat

    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+
    MIRI: Tiada yang mustahil bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, untuk menyalurkan bantuan termasuk 14 tan bekalan makanan dan barang keperluan harian kepada mangsa banjir di pedalaman negeri ini.

    Ketiadaan tanah lapang untuk dijadikan tempat pendaratan bukan halangan, kerana juruterbang berpengalaman tahu helikopter buatan Russia jenis Mi-17 itu mampu mendarat di tempat yang terhad, termasuk di atas jalan raya.

    Ketua JBPM Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pelbagai cabaran terpaksa dihadapi ketika mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir, khususnya di kawasan paling terpencil di Baram.

    "Jika tiada kawasan lapang seperti padang bola sepak, helikopter terpaksa mendarat di atas jalan raya bagi membolehkan penghantaran makanan kepada mangsa banjir dilakukan segera.

    "Selain pendaratan di kawasan sempit, anggota turut menggunakan teknik 'winching' untuk menghulurkan bantuan daripada helikopter di kawasan yang tiada tempat pendaratan," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

    Poh Kiong berkata, itu adalah antara cabaran terpaksa dihadapi anggotanya dan pasukan sukarelawan lain dalam proses mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Sarawak.

    Katanya, walaupun cuaca tidak menentu, pasukannya tetap menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di pedalaman dan penggunaan helikopter sudah tentu mempercepatkan operasi penghantaran.

    Beliau berkata, antara lokasi penghantaran bekalan makanan paling terpencil ialah penempatan penduduk di Nganga Tau, dalam daerah Tatau di Bintulu.

    "Penerbangan mengambil masa 12 minit dari Kompleks Sukan Tatau untuk menghantar bekalan makanan seperti beras, air dan keperluan dapur lain kepada mangsa banjir," katanya.

    Lebih 10 kru penerbangan anggota JBPM yang diketuai juruterbang Mohd Ruzaidi Ramlee dan pembantunya, Mohd Farhan Marzuki melaksanakan misi itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jalan Raya Jadi Tempat Helikopter Mendarat "