• Insiden Kereta Kabel, Kena Jawab Pada Kedutaan China?

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+

    LANGKAWI: Tindakan susulan mengenai kejadian kereta kabel di sini mungkin turut melibatkan penjelasan kepada Kedutaan China selepas siasatan dijalankan, kata Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

    Lada kini berusaha menangani keadaan berikutan perkhidmatan membabitkan 16 daripada 60 gondola Langkawi SkyCab yang dinaiki 88 penumpang, terkandas selama hampir empat jam pada Ahad.

    Lebih 900 pelancong terkandas di dua stesen di Gunung Machinchang.

    Kira-kira separuh daripada pelancong yang terlibat adalah dari China.

    "Sudah tentu tidak ada pelancong yang mahu merasai pengalaman itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Datuk Azizan Noordin di pejabat lembaga itu di sini, Isnin.

    "Kita akan memberi penjelasan berhubung masalah itu bagi mengelakkan tindak balas yang boleh memberi kesan besar kepada perniagaan pelancongan.

    "Kira-kira 3,000 pelancong menggunakan perkhidmatan kereta kabel setiap hari, dan kira-kira 5,000 semasa musim perayaan," tambahnya.

    Gangguan sistem mengakibatkan 16 gondola tidak bergerak antara stesen dari pukul 6 petang hingga 9.50 malam Ahad.

    Seramai 20 kakitangan teknikal kemudian menyelesaikan masalah tersebut, dan pasukan penyelamat berjaya menurunkan semua pelancong terkandas serta kakitangan stesen pada pukul 11 malam.

    "Kereta kabel berada dalam keadaan yang baik kerana kesemuanya diperiksa dan diservis setiap hari.

    "Namun malangnya ia berlaku tanpa diduga," kata Azizan.- mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Insiden Kereta Kabel, Kena Jawab Pada Kedutaan China? "