• Inflasi Diunjur 2.5 Peratus Tahun Ini

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: RAM Ratings menjangkakan inflasi utama akan susut kepada 2.5 peratus didorong sumbangan yang lebih rendah daripada komponen pengangkutan.

    Dalam satu kenyataan hari ini, RAM berkata inflasi pengangkutan kemungkinan besar tidak akan mengulangi trajektori pertumbuhan dua angka seperti tahun lalu, tanpa kesan asas rendah daripada harga minyak runcit.

    "Inflasi makanan mungkin akan meningkat lebih pantas tahun ini berikutan penggunaan lebih kukuh dan kesan limpahan daripada semakan tarif gas yang meningkat.

    "Kami meneliti beberapa kesan dalam komponen 'makanan luar dari rumah', dengan penghapusan sebahagian subsidi minyak pada akhir 2016," kata Ketua Penyelidik RAM, Kristina Fong.

    Beliau berkata, inflasi barangan tahan lama yang sebelum ini menyederhana sejak pertengahan 2016 di tengah-tengah perbelanjaan yang perlahan, mungkin akan menerima dorongan lebih kukuh untuk pertumbuhan harga selepas kuasa beli bertambah baik.

    Sementara itu, RAM Ratings menjangkakan inflasi utama pada Januari susut kepada 2.9 peratus berbanding 3.5 peratus pada bulan sebelumnya.

    Inflasi yang lebih sederhana pada Januari disebabkan sumbangan pertumbuhan yang lebih rendah oleh bahan api pengangkutan, di tengah-tengah kesan asas tinggi daripada tahun sebelumnya.

    Harga purata bagi RON 92 meningkat 20 sen kepada RM2.10 seliter antara Disember 2016 dan Januari 2017, walaupun harga purata kekal stabil pada RM2.28 seliter, naik satu sen antara Disember 2017 dan Januari 2018.

    Berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pad Januari, RAM menjangkakan ia akan kekal berada pada paras itu sepanjang tahun ini.

    "Ini berpandukan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih sederhana dan inflasi, masing-masing sebanyak 5.2 peratus dan 2.5 peratus pada 2018.

    "Walaupun kami tidak menjangkakan pergerakan menaik untuk OPR, tindakan akan datang BNM dijangka akan bergantung kepada data. Kenaikan kadar mungkin akan dilaksanakan sekiranya pertumbuhan KDNK terus meningkat dan risiko inflasi semakin tinggi," katanya - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Inflasi Diunjur 2.5 Peratus Tahun Ini "