• India Rampas Harta Jutawan Barang Kemas

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+

    MUMBAI: Agensi antijenayah kewangan India berkata hari ini, pihaknya merampas sebuah kereta Rolls-Royce Ghost, Porsche Panamera dan enam kenderaan mewah lain milik jutawan barangan kemas, Nirav Modi dan syarikatnya dalam satu siasatan terhadap dakwaan penipuan AS$1.8 bilion (RM7.05 bilion) ke atas bank kerajaan, Punjab National Bank.

    Modi, syarikatnya dan beberapa firma lain yang ada kaitan dengan bapa saudaranya, Mehul Choksi adalah suspek utama penipuan membabitkan surat aku janji (LOU) palsu daripada peminjam kedua terbesar India, digunakan bagi mendapatkan pinjaman cawangan luar negara bank lain, kebanyakannya bank India.

    Dalam kes disifatkan sebagai penipuan terbesar dalam sejarah perbankan India, polis setakat ini sudah menahan 12 orang, enam daripada bank itu manakala bakinya daripada syarikat Modi dan Choksi, ketika siasatan diteruskan.

    Peguam Modi menafikan anak guamnya terbabit dalam sebarang penipuan. Choksi tidak mengeluarkan komen namun syarikatnya, Gitanjali Gems turut menafikan pembabitan dalam dakwaan penipuan itu.

    Direktorat Penguatkuasaan (ED), agensi India yang menumpukan kesalahan penggubahan wang haram dan tukaran mata wang asing, menjalankan serbuan berasingan di beberapa kediaman dan pejabat Modi.

    Setakat Sabtu lalu, agensi itu sudah merampas barangan kemas, emas, berlian, logam berharga dan batuan dikatakan bernilai AS$872.5 juta (RM3.42 bilion).

    Dalam muat naik Twitter hari ini, ED memperincikan rampasan kenderaan milik Modi dan syarikatnya.

    Katanya, pihaknya turut membekukan sejumlah saham dan dana amanah bernilai 78 juta rupee (RM4.7 juta) milik Modi manakala 867.2 juta rupee (RM52.2 juta) milik Choksi.

    Modi yang meninggalkan India bersama keluarganya Januari lalu sebelum bank itu membuat laporan polis bagi memulakan siasatan, tidak pernah secara terbuka mengulas mengenai kes itu. -Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " India Rampas Harta Jutawan Barang Kemas "