• Ikan, udang 'mabuk' Sungai Oya mungkin tercemar

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengkaji punca hidupan air terutamanya udang galah dan ikan, timbul di Sungai Oya dalam daerah Dalat, sejak lebih seminggu lalu.

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengesahkan sudah menerima maklumat berhubung kejadian yang menarik perhatian penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan.

    Katanya, beliau bimbang udang dan ikan itu kemungkinan mabuk akibat racun rumput atau baja yang ditabur sekitar ladang kelapa sawit yang banyak terdapat di daerah Dalat.

    "Berikutan itu, kita meminta JAS membuat pemeriksaan dan mengkaji punca kejadian terbabit.

    "Saya difahamkan jika bahan toksik masuk ke dalam otak dan perut seterusnya menyerap ke dalam isi udang atau ikan, hidupan air terbabit tidak selamat dimakan," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

    Justeru itu, Wan Junaidi menasihati penduduk agar berhati-hati kerana ikan dan udang itu belum dipastikan tahap keselamatannya, sama ada bebas daripada pencemaran atau tidak.

    Semalam, media melaporkan penduduk beberapa kampung di Dalat, gempar dengan kejadian ribuan udang galah serta ikan timbul di Sungai Oya dan ada yang menganggapnya sebagai rezeki selepas banjir.

    Kemunculan udang galah yang timbul di permukaan dikesan di kawasan hulu sungai berkenaan sejak seminggu lalu sebelum merebak hingga ke kawasan hilir termasuk di pekan Dalat.

    Susulan itu, ramai penduduk menyusuri sungai berkenaan untuk mengutip udang dan ikan yang masih hidup.

    Walaupun udang di sungai berkenaan dikatakan biasa timbul ketika musim kemarau apabila air sungai bercampur dengan air laut, namun kejadian terbaharu itu dikatakan yang pertama berlaku selepas banjir.

    Bukan sahaja udang galah dan ikan kecil ditemui timbul, malah semalam dua ikan tapah bersaiz besar dengan berat mencecah 70 kilogram turut ditemui penduduk.

    Keadaan itu membuatkan ada penduduk mengesyaki kejadian mungkin berpunca daripada racun dan baja ladang sawit yang mengalir ke dalam sungai ketika banjir melanda ladang itu baru-baru ini.-BHOnline
  • No Comment to " Ikan, udang 'mabuk' Sungai Oya mungkin tercemar "