• Ibu Bapa, Tetamu Upahan

    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+

    HANOI: Cinta terlarang, hamil sebelum kahwin atau sebab-sebab lain menyebabkan perkhidmatan tetamu upahan majlis perkahwinan semakin popular di Vietnam dengan bayaran antara AS$1,500 (RM5,865) hingga AS$4,400 (RM17,200).

    Melalui pakej itu, seseorang bukan saja boleh mendapat ahli keluarga dan tetamu, malah pasangan untuk dikahwini pada majlis perkahwinan mereka.

    Ia mungkin pelik, namun perkhidmatan itu semakin mendapat tempat di Vietnam, malah sebuah syarikat mengakui sudah mengadakan ribuan majlis perkahwinan palsu setiap tahun.

    Seorang wanita dikenali sebagai Kha turut mendapatkan suami upahan daripada perkhidmatan itu bagi mengelak tekanan keluarga dan masyarakat kerana hamil luar nikah.

    “Ibu bapa saya orang pertama akan menanggung malu jika mendapati saya hamil tanpa suami,” katanya yang dikenakan bayaran AS$1,500 (RM5,865).

    Walaupun perkahwinan itu adalah pura-pura dan tidak sah dari segi undang-undang, menurut Kha, dia tidak kisah, malah bersyukur dengan perkhidmatan seumpama itu.

    “Saya sudah tidak tahu apa lagi boleh dilakukan, namun bernasib baik ada pilihan seperti ini,” katanya.

    Perkahwinan Kha dilakukan secara rahsia dan dia merancang memaklumkan kepada keluarga sudah diceraikan suami memandangkan status janda lebih baik daripada hamil luar nikah.

    Lebih separuh daripada 93 juta populasi penduduk di Vietnam adalah golongan muda yang berusia bawah 30-an yang memilih meninggalkan cara hidup konservatif, tinggal bersama tanpa perkahwinan.

    Satu lagi pasangan, Huong dan teman lelakinya, Quan menggunakan perkhidmatan itu kerana hubungan mereka dihalang keluarga.

    Huong tidak diterima keluarga teman lelaki kerana latar belakang miskin, lalu mendorong mereka mengambil tetamu upahan menghadiri majlis perkahwinan.

    Mereka kemudian mengadakan majlis perkahwinan dan walaupun tetamu yang datang adalah jemputan sebenar, namun ibu, bapa dan saudara mara serta rakan Huong diupah.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Ibu Bapa, Tetamu Upahan "