• Hati-hati Dengan Suplemen Kononnya Kurangkan Risiko Kanser - Subramaniam

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membeli produk suplemen yang kononnya mampu mengurangkan risiko kanser walaupun tiada bukti secara saintifik yang mengesahkan perkara berkenaan.

    Menterinya, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam menjelaskan, pengguna perlu bijak dalam menilai produk berkenaan bagi mengelak mereka terpedaya dengan dakwaan dibuat produk terlibat.

    "Suplemen untuk cara hidup yang sihat tiada masalah tetapi ambil suplemen kerana ia akan mengurangkan risiko Kanser, itu satu perkara yang tidak digalakkan kerana dalam sesuatu ubat itu ada perakuan bahawa vitamin atau suplemen boleh mengurangkan kanser," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Kanser Sedunia 2018 di Temple of Fine Arts di Brickfields, di sini hari ini.

    Jelasnya lagi, tanpa perakuan atau bukti saintifik berkenaan, kementeriannya tidak akan mendaftarkan produk untuk kesihatan itu.

    "Kemudian farmasi kami tidak akan mendaftarkan produk berkenaan kerana perakuan berkenaan. Jika mereka mahu mendaftarkan produk, mereka perlu kemukakan bukti perakuan berkenaan. Kalau mereka tidak boleh berikan bukti sains, jadi kami tidak akan benarkan pendaftaran produk berkenaan," tambahnya.

    Ujarnya, pengusaha industri pembuat produk kesihatan berkenaan memahami peraturan berkenaan dan perlu mematuhinya.

    "Namun, di luar, mungkin mereka masih ramai yang menjual produk ini dan mendakwa ada perakuan (mampu kurangkan risiko kanser).

    "Jadi sangat penting pengguna dapat mengenal pasti produk ini melainkan ada doktor perubatan sendiri yang mengesahkan produk berkenaan mampu mengurangkan risiko berkenaan," ujarnya.- Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Hati-hati Dengan Suplemen Kononnya Kurangkan Risiko Kanser - Subramaniam "