• Hasrat 2 PATI Bekerja Di Ladang Tidak Kesampaian

    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    LUBOK ANTU: Hasrat dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memasuki Malaysia dengan tujuan bekerja di ladang tidak kesampaian apabila diberkas anggota Batalion Kesebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD) di Ladang Sawit Batu Putih di sini semalam.

    Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, kumpulan serkap telah terserempak dengan dua orang lelaki yang sedang menunggang motosikal menuju ke Malaysia melalui lorong tikus di kawasan ladang tersebut.

    Pegawai Memerintah Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD), Leftenan Kolonel Salmi Istikh Ahmad berkata penahan dan pemeriksaan terhadap dua lelaki terbabit telah dibuat.

    “Hasil daripada pemeriksaan, mendapati kedua-dua lelaki terbabit adalah warganegara Indonesia yang berasal dari Kg Berangan, Badau, Indonesia.

    “Kedua-dua PATI tersebut berhasrat ingin memasuki Malaysia adalah dengan tujuan untuk bekerja di lading,” katanya.

    Katanya lagi, penahanan di jarak 500 meter dari Sempadan Malaysia/Indonesia itu dilakukan di atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri serta tiada dokumen perjalanan yang sah.

    Tambahan beliau, motosikal yang ditunggang oleh kedua-dua PATI tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran dan melalui jalan yang tidak dibenarkan.

    Kesemua subjek dan barang rampasan tersebut telah dibawa ke IPD Lubok Antu dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Hasrat 2 PATI Bekerja Di Ladang Tidak Kesampaian "