• Harga Rumah Di Malaysia Sangat Tidak Mampu Milik - BNM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Harga rumah di Malaysia berada pada tahap sangat tidak mampu milik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

    Bank pusat itu berkata, menurut piawaian antarabangsa, 'rumah mampu milik' ditakrifkan sebagai rumah yang harganya kurang tiga kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan.

    Sebaliknya, harga rumah di Malaysia kini lima kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan, sekaligus menjadikannya sangat tidak mampu milik.

    Dalam laporan bertajuk “Rumah Mampu Milik: Cabaran Dan Penyelesaian” yang diterbitkan pada Rabu bersama laporan ekonomi negara suku keempat 2017, BNM berkata, harga median rumah di Malaysia dicatatkan pada RM313,000.

    Ini berbanding harga maksimum mampu milik sebanyak RM282,000.

    “Hasil daripada ketidakpadanan bekalan-permintaan yang serius ini, bilangan kediaman tidak terjual di Malaysia berada pada tahap tertinggi dalam sedekad iaitu 146,497 unit pada suku kedua 2017, meningkat dari 130,690 unit pada suku pertama 2017.

    “Pada suku kedua 2017, hampir 82% kediaman tidak terjual berharga lebih RM250,000,” kata BNM.

    BNM berkata, tiga faktor utama menyumbang kepada situasi kediaman tidak terjual.

    Pertama, ketidakpadanan bekalan dan permintaan.

    “Secara purata dari 2014-2016, sebanyak 114,000 rumah baru dibina, jauh lebih rendah dari pembentukan 154,000 isi rumah baru,” katanya.

    Kedua, lebih banyak kediaman baru dibina pada harga yang tidak mampu milik.

    “Dari 2016 hingga suku pertama 2017, 35 peratus isi rumah Malaysia mampu membeli rumah berharga sehingga RM250,000, namun hanya 24 peratus dari rumah baru dibina dengan harga tersebut,” tambah BNM.

    Ketiga, pendapatan rakyat Malaysia yang meningkat lebih perlahan berbanding peningkatan harga rumah.

    “Dari 2007 ke 2016, harga rumah meningkat 9.8 peratus, sementara pendapatan isi rumah rakyat Malaysia hanya meningkat 8.3 peratus,” katanya.- Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Harga Rumah Di Malaysia Sangat Tidak Mampu Milik - BNM "