• Hamilton Belum Sain Kontrak

    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+
    LONDON: Juara dunia Formula Satu empat kali Lewis Hamilton masih belum menandatangani kontrak baru dengan Mercedes namun perbincangan terhadapnya berjalan lancar, kata ketua pasukan Toto Wolff hari ini.

    "Lewis menjadi tonggak penting dalam pasukan dan tidak syak lagi kami akan terus bekerjasama," kata beliau dalam wawancara disiarkan di laman web pasukan itu (www.mercedesamgf1.com).

    "Perbincangan berlangsung dalam suasana amat positif dan hanya menunggu masa bilakah kami akan mencapai persetujuan dan menandatangani dokumen."

    Hamilton, 33, tamat kontrak pada akhir 2018, tahun yang akan menyaksikannya menjadi pelumba ketiga menjulang lima kejuaraan selepas juara tujuh kali Michael Schumacher dan bekas pelumba dari Argentina Juan Manuel Fangio.

    Pelumba Britain itu bekata November lalu bahawa dia menjangkakan perbincangan yang mudah.

    "Ia satu proses yang agak mudah bagi kami," kata Hamilton ketika itu.

    "Kami mempunyai perancangan tertentu dan ia berkisar terhadap lanjutan kontrak dan penambahbaikan, cuba memperbaiki apa yang boleh saya lakukan untuk mereka, penaja, jenama dan begitu juga sebaliknya."

    Sejak itu, Hamilton memadam kebanyakan posnya di media sosial dan enggan menonjolkan diri.

    Twitternya yang diikuti 5.25 juta orang, kini hanya mempunyai dua pos, satu daripada pasukan dan satu daripada penaja yang dibalas pemandu itu.

    Perlumbaan F1 musim ini bermula di Australia pada 25 Mac. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Hamilton Belum Sain Kontrak "