• Hafizh Tak Mahu Ghairah

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+
    SEPANG: Hafizh Syahrin Abdullah enggan terlalu ghairah mengenai spekulasi akan berlumba dalam kelas MotoGP 2018 bersama Monster Yamaha Tech3, sebaliknya meminta peminat menunggu pengumuman rasmi daripada pasukan berpangkalan di Perancis itu.

    Pelumba yang menyertai SIC Racing dalam kelas Moto2 itu dikaitkan dengan perpindahan berkenaan dan spekulasi mengenainya semakin kencang apabila bekas pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin diumumkan sebagai penggantinya, semalam.

    Namun, Hafizh yang sudah empat musim penuh beraksi dalam kelas Moto2 berkata, dia tidak mahu memanjangkan lagi spekulasi berkenaan meskipun secara logiknya, ia sudah 99 peratus hampir menjadi realiti.

    "Buat masa ini, saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini," kata Hafizh.

    "Keputusan hanya akan dibuat oleh pasukan.

    "Apa yang boleh saya katakan, harap peminat bersabar dan sama-sama kita doakan yang terbaik."

    Spekulasi mengenai masa depan Hafizh mula menjadi perhatian apabila bekas pelumba daripada Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu berada dalam senarai utama pasukan Monster Yamaha Tech3 bagi menggantikan Jonas Folger yang mengalami masalah kesihatan.

    Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mengumumkan tempat Hafizh dalam SIC Racing Team diambilalih Zulfahmi sekali gus memperkuatkan lagi spekulasi perpindahan pelumba berusia 23 tahun itu.

    Difahamkan, pasukan yang berpangkalan di Perancis itu bakal membuat pengumuman rasmi mengenai pelumba keduanya di samping Johann Zarco, dalam masa terdekat ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Hafizh Tak Mahu Ghairah "