• Hafizh Letak Sasaran Realistik

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+
    SUBANG: Hafizh Syahrin Abdullah mengambil pendekatan realistik dalam meletakkan sasaran peribadinya pada penampilan sulung dalam saingan MotoGP musim ini.

    Hafizh menerima pengesahan daripada Monster Yamaha Tech 3 hari ini untuk mewakili pasukan itu dalam kelas utama musim ini dan menjadi penunggang pertama Asia Tenggara bersaing dalam MotoGP.

    Penunggang berusia 23 tahun itu berkata, dia berusaha keras untuk meningkatkan persembahannya bagi membalas kepercayaan yang diberikan pasukan berpangkalan di Perancis itu.

    "Saya perlu berterima kasih kepada Tech 3 kerana memberi peluang keemasan ini dan juga SIC (Litar Antarabangsa Sepang) kerana bekerja keras untuk menjadikannya satu realiti," kata Hafizh.

    "Banyak spekulasi dan persoalan di media sosial baru-baru ini. Saya cuma berdiam diri dan fokus kepada latihan saya. Saya akan memberikan apa yang saya ada dan melakukan yang terbaik untuk Malaysia serta penyokong saya."

    Hafizh yang menyertai saingan Moto2 sepanjang empat tahun lalu, menekankan matlamat utamanya musim ini adalah mengutip mata seberapa banyak mungkin, sesuatu yang cukup sukar dilakukan dalam MotoGP.

    "Saya pelumba baharu jadi jangan letakkan harapan terlalu tinggi terhadap saya," kata Hafizh.

    "Saya tidak mempunyai sasaran tinggi musim ini. Saya hanya mahu menamatkan perlumbaan pertama (di Qatar) dalam kelompok 20 teratas dan mengutip seberapa banyak mata.

    "Saya mula menyesuaikan diri dengan motosikal ketika latihan (di Buriram) dan saya rasa persembahan saya agak baik apabila mengatasi Karel Abraham, Xavier Simeon dan Jorge Lorenzo tapi masih banyak yang perlu dipelajari." - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Hafizh Letak Sasaran Realistik "