• Guru Rugi RM6,000 Di Tanah Perkuburan Islam Semariang

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Seorang guru lelaki kerugian kira-kira RM6,000 setelah disamun oleh lelaki tidak dikenali yang sebelum itu meminta bantuan menumpang motosikalnya untuk dihantar ke rumahnya di Kampung Semariang di sini, awal pagi semalam.

    Menurut sumber, guru berusia 28 tahun yang menyewa di Taman Matang Jaya di sini, terserempak dengan suspek yang memakai kurta berwarna putih dan berkopiah di depan rumahnya semasa mahu pergi mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sampadi pada puku 6.45 pagi.

    Katanya, suspek telah meminta bantuan mangsa untuk dihantar ke rumahnya di Kampung Semariang dan tanpa curiga guru terbabit bersetuju menumpangnya menaiki motosikal jenis Honda Dash.

    “Apabila tiba di kawasan Kampung Semerah Padi, suspek meminta mangsa memberhentikan motosikal dan menawarkan diri untuk menunggang motosikal guru berkenaan.

    “Pengadu telah membenarkan lelaki itu menunggang motosikalnya tanpa berprasangka buruk,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

    Beliau berkata, suspek kemudian membawa mangsa di kawasan Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Tengah, Semariang lalu menyamun mangsa dengan mengugut menggunakan parang dan jarum suntikan mengandungi cecair jernih.

    Katanya, bimbang dicederakan, mangsa menyerahkan barangan berharga miliknya termasuk dokumen peribadi.

    Tambahnya, selepas mendapat barang-barang yang diminta, suspek membawa mangsa ke kawasan Bandar Baharu Semariang untuk ditinggalkan sebelum melarikan diri dengan motosikal guru berkenaan. – UTUSAN ONLINE



  • No Comment to " Guru Rugi RM6,000 Di Tanah Perkuburan Islam Semariang "