• Guru Ini Trauma Hadapi Detik Banjir Di Sarawak

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+



    SELANGAU - Pada pagi Selasa 6 Februari 2018, aku sama sekali tidak menyangka akan berhadapan dengan situasi banjir dengan begitu dahsyat biarpun banjir kerap melanda SK Kuala Pelugau, Selangau.

    Tahun ini sahaja sudah dua kali banjir melanda pekarangan sekolah termasuk pada bulan Januari yang lalu.

    Proses pengajaran turut berjalan seperti biasa walaupun hujan turun dengan begitu lebat dan tidak menunjukkan sebarang tanpa hujan akan reda.

    Hujan semakin lebat dan air sungai mula melimpah masuk ke kawasan sekolah.

    Luluh hati melihat lumpur memenuhi seluruh sekolah.

    Murid diarahkan berkumpul di asrama kerana kedudukan asrama yang lebih tinggi berbanding bilik darjah yang lain.

    Aku juga turut pulang ke kuartes guru untuk mengemas barang dan meletakkan dokumen penting ke tempat yang lebih tinggi.

    Tepat pukul 11 pagi, murid diarahkan pulang ke rumah masing-masing memandangkan keadaan banjir semakin membimbangkan.

    Pertembungan dua batang sungai iaitu Sungai Pelugau dan Sungai Ulu Balingian menyebabkan air naik dengan begitu cepat.

    Setelah dimaklumkan pihak sekolah, ibu bapa datang ke sekolah dan membawa pulang anak masing-masing ke rumah panjang.

    Namun, seramai 16 guru dan enam staf sokongan masih di kuarters masing-masing kerana tiada arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib untuk membenarkan kami keluar dari kawasan sekolah walaupun air semakin naik.

    Dalam debar yang kian menyesakkan dada, aku berdoa semoga hujan reda dan banjir akan surut dengan cepat.

    Belum pernah aku lalui situasi ini, dalam teringat wajah-wajah yang aku sayangi, doaku tidak pernah putus. Allah!!! kau permudahkanlah segalanya. Selamatkanlah kami daripada sebarang bencana.

    Namun, sangkaanku meleset apabila rakan guru, Cikgu Edwin datang ke kuartersku dengan tergesa-gesa dan menyuruh aku segera meninggalkan pekarangan sekolah.

    Katanya air semakin naik dan hujan di hulu sungai masih belum berhenti.

    Seperti kilat, aku mencapai apa yang perlu, mengemas elok-elok segala keperluan peribadi dan bersiap sedia untuk keluar dari kawasan sekolah.

    Suasana banjir yang melanda SK Kuala Pelugau yang nyaris meragut nyawa dua guru.

    Harung banjir paras leher

    Aku dan rakan lain nekad mengharing banjir yang airnya sudah melebihi paras leherku.

    Segala dokumen penting kami junjung atas kepala.

    Biarpun begitu, pengawal keselamatan tidak dibenarkan untuk terus mengharungi banjir kerana paras air sungai di hadapan sekolah begitu deras airnya.

    Pengawal keselamatan kemudiannya mengangkut kami dengan perahu miliknya sendiri ke rumah panjang yang tidak jauh dari sekolah itu.

    Dua buah perahu milik penduduk rumah panjang juga turut datang menyelamatkan kami. Perahu yang agak kecil memaksa kami menunggu giliran untuk dikeluarkan dari kawasan sekolah.

    Perahu itu tidak menggunakan enjin dan mereka perlu berdayung sekuat hati untuk melawan arus deras.

    Akhirnya, aku dan Cikgu Ham Kiet Lieng serta Cikgu Goh Poi Gek berjaya menaiki perahu untuk keluar dari situ. Kami terpaksa melalui beberapa kawasan yang begitu deras airnya dan amat dalam.

    Suasana cukup cemas apabila perahu yang kami naiki dimasuki air dan kami tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah perahu tenggelam.

    Walaupun panik, aku secara spontan mencapai barang-barang keperluan dan berpaut pada perahu tersebut manakala dua rakan ku, Kiet Lieng dan Poi Gek dihanyutkan arus deras.

    Hanya Allah yang tahu perasaan ku ketika itu..

    Mujurlah kejadian itu berlaku di hadapan sebuah rumah panjang dan bapa kepada seorang murid bertindak pantas menyelamat dua guru itu dengan perahu enjin.

    Alhamdulillah mereka berjaya di selamatkan.

    Kami meneruskan usaha dengan mengharungi kawasan limpahan air sungai yang sangat deras dan memaksa kami berpaut sesama sendiri untuk memastikan kami tidak hanyut dibawa arus deras bagi menuju ke lokasi lebih selamat.

    Aku tidak tahu ke mana hendak ku tuju kerana tiada pusat pemindahan banjir yang disediakan di situ.

    Tanpa berfikir panjang, aku menaiki kereta milik rakanku untuk keluar ke bandar terdekat dengan segera sebelum air melimpah ke jalan. Aku dan rakan-rakanku mencari hotel budget untuk tinggal sementara menunggu banjir surut di sekolah.

    Kejadian itu meninggalkan kesan trauma kepada diriku hingga ke hari ini.

    Keadaan kuarters guru yang berlumpur tebal.

    Setelah banjir surut, aku pulang ke sekolah untuk melihat keadaan harta benda yang masih boleh diselamatkan. Namun, banyak juga kerugian harta benda yang terkorban seperti perabot, telefon, buku-buku, koleksi novel, pakaian dan makanan yang berada di dapur. Lumpur setebal 15cm dalam kuartes ku sudah tidak mampu lagi menebalkan semangatku yang semakin menipis.

    Itupun belum lagi lumpur yang mencecah paras lutut di sepanjang jalan utama masuk ke sekolah.

    Adarakan setugasku yang mengalami kerosakan mesin pencetak, peti sejuk, komputer riba, mesin basuh, dan buku-buku pelajar.

    Kalau nak diikutkan kesukaran yang kami alami, ada lagi rakan guruku di sekolah lain yang lebih dahsyat dan teruk musibah yang dialami mereka seperti di SK Nanga Selangau, SK Nanga Kua, SK St Matthew, SK St Mark, SK Kuala Lemai dan lain-lain.

    Aku juga melihat buku-buku di Pusat Sumber Sekolah musnah sekali lagi. Dulu pada tahun 2015, banjir telah memusnahkan segala buku-buku di pusat sumber dan dua tahun tempoh masa yang diperlukan untuk mengumpul kembali buku-buku di situ.

    Namun, banjir yang melanda kali ini memusnahkan sekali lagi termasuk buku hadiah saguhati pertandingan Anugerah Kecemerlangan GPSBestari yang bernilai RM6,000 diterima sekolah pada tahun lepas.

    Aku turut kehilangan banyak koleksi buku-buku bacaan yang setia menjadi penemanku tatkala berada jauh di ceruk pedalaman hutan belantara. Buku-buku yang dikumpul sejak aku mula ditempatkan di sekolah ini memberi makna yang amat signifikan terhadap kehidupanku di sini.

    Paling memberi kesan adalah kehilangan buku yang berjudul “Cikgu Kampung” tulisan Cikgu Shahidan Shuib.

    Buku tersebut sangat berinspirasi dan memberi semangat kepadaku untuk terus menabur bakti di sini. Namun, kehilangan buku-buku yang berinspirasi dihanyutkan oleh banjir lumpur seperti itu sudah tentu turut membawa semangatku bersama aliran banjir yang datang dan berlalu pergi dalam sekelip mata.

    Sebenarnya, sekolah ini dinafikan hak selaku sekolah pedalaman sedangkan banjir kerap melanda dan tanah runtuh turut menjadi ancaman kepada murid-murid serta warga sekolah di sini.

    Capaian talian telefon yang terbatas dan capaian internet yang terhad, sudah tentunya amat menyukarkan aku dan rakan-rakan di sini.

    Bagaimana kami selaku warga sekolah ingin memulakan kembali kehidupan kami di sini tanpa sokongan dan bantuan daripada mana-mana pihak.

    Bangunan sekolah yang diperbuat daripada kayu semakin reput dan padang sekolah yang menjadi saksi lahirnya atlet-atlet bertaraf antarabangsa bertukar menjadi padang becak berlumpur serta tidak boleh digunakan lagi.

    Kehilangan harta benda sudah tentu boleh dicari dan dikumpul semula. Namun, kehilangan semangat dan jiwa dalam diri memerlukan masa yang sangat lama untuk bangkit semula dan memulakan kehidupan yang baru.

    Aku masih di sini dan terpaksa mencari semula semangat yang hilang kerana aku khuatir semangat yang dicari tidak kunjung tiba dan telah hilang buat selama-lamanya.

    Dalam keadaan tiada bekalan elektrik dan sumber air bersih.. aku semakin lelah.

    Hari ini ibu bapa murid bergotong-royong membersihkan sekolah dan proses pengajaran dan pembelajaran masih tidak dapat dilakukan.

    -Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Guru Ini Trauma Hadapi Detik Banjir Di Sarawak "