• Guru Diingat Daftar Sebagai Pemilih

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+


    SABAK BERNAM - Kementerian Pendidikan mengingatkan guru di seluruh negara supaya berdaftar sebagai pemilih bagi menghadapi PRU14.

    Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan berkata, sebagai pendidik mereka harus menunaikan tanggungjawab itu sebagai warganegara Malaysia.

    "Sebagai rakyat Malaysia, hak kita ialah sebagai pengundi dan yang kedua selepas mendaftar sebagai pengundi, kita harus keluar mengundi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Komik 20 Nilai Budi di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Limau, di sini, sebentar tadi.

    Bagaimanapun, Kamalanathan memberitahu, beliau tidak mempunyai jumlah angka yang tepat bilangan guru yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

    "Mungkin ada sebab-sebab tertentu mengapa masih terdapat guru yang tidak mahu mendaftar," katanya.

    Katanya, pihak kementerian sentiasa melaksanakan pelbagai kempen kesedaran berhubung kepentingan guru mendaftar sebagai pemilih terutama di negara ini yang amat menjunjung amalan demokrasi.

    "Kita sentiasa menguar-uarkan kempen ini melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), malah menteri pendidikan sendiri sentiasa menyuruh warga pendidik mendaftar sebagai pemilih.

    "Namun, kementerian tidak boleh memaksa mereka untuk mendaftar sebagai pemilih kerana ia merupakan hak masing-masing

    "Kita bersyukur kerana ramai guru telah pun mendaftar sebagai pengundi dan kita akan memastikan lebih ramai lagi mendaftar selepas ini," katanya.

    Ditanya tentang jumlah guru yang terlibat sebagai petugas pilihan raya pada PRU14, Kamalanathan berkata, beliau tidak mempunyai angka tepat mengenai perkara itu.

    "Bagaimanapun, semua guru yang dipertanggungjawabkan sebagai pegawai SPR telah pun diberi taklimat oleh SPR," katanya.-SH


    Subjects:

  • No Comment to " Guru Diingat Daftar Sebagai Pemilih "