• Guna Wang Bantuan JKM Beli Dadah

    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+

    Lelaki orang kurang upaya (OKU) kerana kaki kirinya tempang akibat terbabit dalam kemalangan jalanraya, adalah antara 20 orang yang dicekup kerana disyaki penagih dadah dalam Ops Sarang di kebun kelapa sawit di Kampung Paya Kerchut, Pendang, semalam.

    Lelaki berusia 48 tahun itu mengaku, akibat ketagihan dia menggunakan sebahagian wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli dadah, selain wang hasil menjual besi buruk.

    “Saya sudah banyak keluar pusat pemulihan kerana terbabit dengan dadah. Saya selalu datang ke sini menunggang motosikal untuk beli dadah walaupun keadaan saya yang tempang sebelah kaki, tetapi disebabkan ketagih, saya datang ke sini juga,” katanya.

    Ops Sarang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bersama-sama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah, Balai Polis Pendang dan Balai Polis Bukit Jenun, tertumpu di kawasan itu yang dipercayai menjadi lokasi penagihan dadah.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, 20 penagih berusia 19 tahun hingga 56 tahun ditahan di kawasan itu dalam operasi yang dijalankan dari jam 2.30 petang hingga 6 petang semalam.

    “Lokasi itu pernah diserbu, tetapi penagih dadah di kawasan terbabit dikatakan sering berpindah tempat dalam kawasan kebun kelapa sawit itu untuk mengaburi pihak berkuasa.

    “Jika tiada maklumat tepat, berkemungkinan anggota kami tidak dapat menahan mereka kerana mereka kerap berpindah lokasi bagi mengelakkan anggota kami mengesan pergerakan mereka,” katanya.

    Fadzil berkata, semua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis morfin dan methamphetamine, dan tiga daripadanya, termasuk yang memiliki dadah dibawa ke IPD Pendang untuk siasatan lanjut, manakala sebahagian lain diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, seorang lelaki akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri motosikal dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah, manakala selebihnya disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Guna Wang Bantuan JKM Beli Dadah "