• Gitaris Ukays, Akel Zainal, Kini Ketuai Militan Daesh

    Published: Sunday, 25 February 2018
    A- A+

    BERITA bahawa bekas pemain gitar kumpulan Ukays, Akel Zainal kini salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang menjadi pemimpin kanan pengganas Islamic State (IS) sedang hangat dilaporkan oleh media tempatan.

    Selain Akel, tiga lagi yang terlibat ialah bekas pengikut kanan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) Mohd Rafi Udin dan dua individu yang hanya dikenali dengan nama Abu Gomez dan Abu Zar.

    Akel atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal mula menyertai IS sejak tercetusnya konflik di Syria dan malah turut ke sana untuk menyertai perang.

    Pada Oktober 2014, Akel dilaporkan giat merekrut wanita khususnya pelajar institusi pengajian tinggi tempatan untuk ke Syria dan bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Syamimi Faiqah lari ke negara itu untuk berkahwin dengannya.

    Mohd Rafi Udin mencetuskan kegemparan dua tahun lalu apabila mengeluarkan amaran menerusi rakaman video akan melancarkan serangan di Malaysia.

    Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, empat individu itu memainkan peranan merekrut anggota baru di Asia Tenggara selepas kematian Ketua Militan Malaysia, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi pada Julai lalu.

    “Mereka menyebarkan propaganda termasuk dakyah ideologi radikal menerusi pelbagai platform termasuk bahan bacaan,” katanya, memetik laporan Malaysia Kini.

    Beliau berkata selain majalah propaganda IS bernama Dabiq yang dapat dimuat turun di Internet, kumpulan militan itu juga menyebarkan ideologi menerusi aplikasi permesejan seperti Telegram. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Gitaris Ukays, Akel Zainal, Kini Ketuai Militan Daesh "