• Geran RM5 Juta Untuk Koperasi Sekolah

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meluluskan pemberian geran sebanyak RM5 juta sebagai modal suntikan kepada koperasi sekolah terpilih di negara ini.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, geran tersebut diberikan sebagai salah satu transformasi kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dalam memajukan koperasi di sekolah disamping inisiatif memantapkan pertumbuhan ekonomi negara.

    Katanya, geran tersebut juga diberikan sebagai sokongan untuk menjadikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) mencapai matlamat yang ditetapkan.

    “Kita mahu pelajar didedahkan proses awal untuk menjadi usahawan dan pemimpin dengan berkecimpung dalam koperasi di samping menentukan kecenderungan anak-anak tersebut.

    “Selain itu, kita juga mahu tahun-tahun seterusnya nanti pengerusi koperasi dan pihak berkepentingan dapat menerima ilmu bermanfaat seperti daftar perniagaan, e-dagang dan ilmu penting yang berkaitan demi masa hadapan,” katanya dalam sesi interaktif bersama pengetua sekolah dari seluruh negara sempena Seminar Transformasi Koperasi Sekolah 2018, di sini malam tadi.

    Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad.

    Seminar anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia itu diadakan sebagai salah satu platform perkongsian maklumat dan pandangan bersama pemimpin berkaitan isu koperasi sekolah.

    Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kolaboratif bagi menjayakan konsep koperasi di sekolah mampu melahirkan pelajar yang lebih dinamik di masa depan.

    Menurutnya, pelajar terbabit akan didedahkan dengan ilmu formal di luar bilik darjah seperti ilmu pengauditan dan pengurusan perniagaan.

    “Tiada sekatan dalam memastikan hala tuju koperasi sekolah kerana kita mahukan transformasi dan kita mahukan pelajar ada pengetahuan yang boleh dibawa kepada masyarakat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Geran RM5 Juta Untuk Koperasi Sekolah "