• Gelandangan Akhirnya Dipertemukan Dengan Ibu

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+


    IA merupakan detik-detik memilukan apabila seorang ibu akhirnya bertemu semula dengan anak lelakinya yang telah menghilangkan diri selama 10 tahun.
    Si ibu, 56, berpisah dengan anaknya itu sejak 2008 selepas si anak meninggalkan rumah mereka di sebuah kawasan pedalaman di China, kerana mahu mencari kerja.

    Tanpa disedari oleh wanita itu, anaknya memilih untuk menjadi gelandangan di sebuah bandar yang terletak kira-kira 1,100 km dari rumah mereka.

    Si anak yang dikenali sebagai Wang, kini berusia 31 tahun. Dia menjadi gelandangan kerana malu untuk balik ke kampung disebabkan gagal mencari pekerjaan. Disebabkan itu dia memilih untuk tidur di tepi jalan di Guangdong dan membiarkan ibunya kebimbangan dan kesedihan kerana menanti kepulangannya.

    Wanita itu yang setiap hari merindui anaknya telah jatuh sakit namun dengan bantuan sekumpulan sukarelawan, dia dapat bertemu semula dengan anaknya pada 20 Februari lalu.

    Menurut kumpulan sukarelawan dikenali sebagai ‘Let Love Go Home’, mereka pertama kali bertemu dengan Wang pada 17 Februari lalu ketika mengunjungi rumah-rumah perlindungan sempena tahun baru Cina.

    Kumpulan itu cuba mencari kerja untuk Wang namun disebabkan Wang kehilangan kad pengenalan, dia sukar mencari pekerjaan.

    Pada mulanya Wang enggan memberitahu maklumat mengenai dirinya kepada kumpulan itu namun akhirnya dia mengalah. Selepas mendapat maklumat di mana keluarganya menetap, kumpulan itu berjaya mengesan keluarganya.

    “Pada mulanya bapanya enggan percaya kepada kami kerana dia sangka anaknya sudah mati. Wang mempunyai sepupu yang mendapat pendidikan di Universiti, jadi kami kirimkan video kepadanya dan dialah yang meyakinkan keluarga Wang bahawa anak mereka masih hidup.

    “Disebabkan bapanya terlalu uzur untuk datang ke bandar Shenzhen, maka hanya ibunya yang datang. Sebaik melihat anaknya, dia memegang kaki anaknya sambal menangis dengan kuat. Kami sendiri menjadi sangat terharu melihat mereka,” kata pengasas kumpulan itu, Zhang Shiwei.

    Susulan pertemuan itu, Wang akan pulang ke kampung dan meluangkan masa dengan keluarganya serta akan membantu keluarganya menjalankan perniagaan di kampung itu. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Gelandangan Akhirnya Dipertemukan Dengan Ibu "