• Gadis Ditumbuk, Ditampar Penyamun

    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    LAHAD DATU: Seorang gadis berusia 17 tahun ditumbuk di mata, mulut dan perut, selain ditampar beberapa kali oleh seorang lelaki dalam kejadian cubaan samun di tingkat dua sebuah bangunan di Dataran Palma di sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 1.16 tengah hari itu, mangsa dikatakan baru tiba di lokasi berkenaan untuk menunggu kakaknya.

    Namun, seorang lelaki tidak dikenali menghampiri dan menarik baju mangsa lalu mengugutnya supaya menyerahkan telefon bimbit, wang dan barang berharga, namun mangsa enggan.

    Sumber memberitahu, suspek kemudian terus menumbuk di bahagian mata, mulut dan perut mangsa serta beberapa kali menampar pipinya.

    “Mangsa yang kesakitan menjerit meminta tolong menyebabkan suspek melarikan diri (tanpa berjaya meragut barang milik mangsa).

    “Mangsa kemudian beredar dan menghubungi kakaknya sebelum melaporkan kepada polis,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad, ketika dihubungi, berkata siasatan kes berkenaan masih dijalankan.

    “Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Gadis Ditumbuk, Ditampar Penyamun "