• Fokus Perniagaan Teras - TPM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan anak syarikat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), FRIM Inc, supaya tidak tersasar daripada perniagaan teras dan memberi tumpuan dalam mengkomersialkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke peringkat dunia.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, FRIM Inc harus memberi tumpuan menghasilkan produk organik yang mendatangkan hasil lumayan kepada syarikat itu dan tidak menjadi organisasi lain dengan membeli aset di luar negara.

    "Saya tidak mahu FRIM Inc lari daripada perniagaan teras, jangan sampai buat resort, beli hotel di luar negara. Ada yang sepatutnya pelihara hutan tetapi beli aset lain. Saya bukan nak sebut mana-mana agensi tetapi jangan jadi begitu.

    "Jangan lakukan projek di luar perniagaan teras, fokus kepada bidang kita," katanya berucap pada majlis perasmian FRIM Inc di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi FRIM yang juga Pengerusi FRIM Inc, Datuk Seri Azizan Ahmad.

    Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli lembaga pengarah FRIM Inc supaya tidak memikirkan kepentingan peribadi semata-mata bagi meraih keuntungan.

    "Inilah masalah apabila orang besar ada sifat tamak haloba untuk menjaga kepentingan peribadi," katanya.

    Terdahulu, Azizan mengumumkan nama dua spesies tumbuhan bukit batu kapur yang masing-masing dinamakan sempena Ahmad Zahid dan Wan Junaidi iaitu 'Gymnostachyum ahmadzahidianum' daripada keluarga tumbuhan Belalai Gajah yang ditemui di Kelantan dan 'Impatiens feonajunaidiana' daripada keluarga Keembong yang ditemui di Perlis.

    FRIM Inc ditubuhkan pada 4 Ogos tahun lalu sebagai anak syarikat FRIM bagi mentransformasi hasil R&D kepada aktiviti komersialisasi untuk penjanaan pendapatan.

    Ia memulakan urus niaga awal Disember lalu dan setakat ini sudah mengadakan jalinan kerjasama bernilai lebih RM800,000 dengan lebih 10 syarikat dan agensi. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Fokus Perniagaan Teras - TPM "