• Fokus Kepada Pelaburan Teras Pelbagai Sektor

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) akan terus fokus kepada pelaburan terasnya dalam pelbagai sektor pada tahun ini, antaranya merangkumi bidang kewangan Islam, perladangan, hartanah dan perhotelan.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Johan Abdullah, berkata, pendapatan kasar RM4.5 bilion yang dicatatkan TH tahun lalu, berbanding RM3.4 bilion pada tahun sebelumnya jelas menunjukkan prestasi TH berada pada landasan yang tepat.

    "Keuntungan pelaburan dalam aset ekuiti menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan TH iaitu sebanyak 53 peratus, diikuti aset pendapatan sebanyak 22 peratus, sejajar dengan prestasi baik pasaran saham.

    "Selain itu, aset hartanah kita juga memberi kadar pulangan yang baik iaitu sebanyak enam peratus, selari dengan prestasi pasaran sewaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Hibah TH 2017, di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    Beliau berkata, bagi menampung kos yang semakin meningkat termasuk kos haji, TH akan melaksanakan strategi untuk mengoptimumkan kos selain menstrategi semula pendekatan termasuk meneroka sektor baharu seperti konsesi dan projek infrastruktur.

    "TH perlu menampung banyak kos langsung dan tidak langsung, dengan kos yang terbesar adalah bagi subsidi haji.

    "Kita berada pada tahap yang baik dan boleh melakukannya kerana penubuhan TH sendiri asasnya adalah untuk orang ramai menabung. Kita akan bantu kesejahteraan umat Islam untuk menunaikan haji," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Fokus Kepada Pelaburan Teras Pelbagai Sektor "