• Fasa 2 Projek Naik Taraf Sekolah Daif Di Sarawak Rancak Dirancang

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+


    KUCHING - Bagi pelaksanaan projek membaiki sekolah daif di Sarawak di bawah fasa dua tahun depan, Kementerian Kerja Raya akan mengusulkan supaya satu jawatankuasa bersama kerajaan negeri dan persekutuan ditubuhkan bagi berbincang mengenai pemilihan dan keutamaan projek yang perlu dilaksanakan segera.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia selaras dengan hasrat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg supaya input daripada kerajaan negeri turut diambil kira dalam pemilihan dan keutamaan dalam projek berkaitan sekolah daif.

    Katanya beliau akan membawa perkara itu ke peringkat persekutuan untuk dibincangkan oleh pihak-pihak berkaitan seperti Kementerian Kewangan serta Kementerian Pendidikan dan apabila dipersetujui, jawatankuasa itu nanti akan diberi mandat dalam pelbagai aspek projek berkenaan seperti memutuskan keutamaan, memilih kaedah pembinaan, memantau projek dan sebagainya.

    "Senarai (sekolah daif) sudah ada, senarai oleh persekutuan dan senarai oleh negeri, tetapi sekolah mana yang perlu diutamakan masih belum dimuktamadkan lagi, sebab kerajaan nak dengar juga keperluan negeri. Setiap pemimpin setempat memanglah semua mahukan tempatnya diberi keutamaan dengan segera, tapi kita kena pilih," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan 'surat setuju terima' kepada 13 kontraktor yang dilantik bagi mengusakana fasa pertama projek pembinaan semula dan menaik taraf sekolah-sekolah daif menggunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS) di Sarawak dan menyempurnakan acara pecah tanah projek di Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, Bau, kira-kira 25km dari sini pagi ini. - Bernama
  • No Comment to " Fasa 2 Projek Naik Taraf Sekolah Daif Di Sarawak Rancak Dirancang "