• EPL Sudah Belanja RM2.49 Bilion

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+

    LONDON: Kelab Liga Perdana Inggeris membelanjakan lebih banyak wang daripada sebelumnya pada jendela perpindahan Januari dengan jangkaan awal membayangkan mereka sudah mencapai paras £450 juta (RM2.49 bilion) pada hari terakhir.

    Pierre-Emerick Aubameyang menyertai Arsenal dari Borussia Dortmund dengan bayaran rekod kelab £56 juta (RM310.1 juta) pada hari terakhir perpindahan dengan Olivier Giroud berpindah ke Chelsea sebagai sebahagian daripada ‘permainan’ perpindahan yang mengelirukan.

    Rekod EPL terdahulu untuk perpindahan Januari adalah sebanyak £225 juta (RM1.24 bilion) pada 2011.

    Sebelum tamat jendela perpindahan di England, Tottenham Hotspur mengumumkan pembelian Lucas Moura dari Paris Saint-Germain namun Manchester City membatalkan hasrat mendapatkan pemain Leicester Riyad Mahrez.

    Kelab utama Liga Perdana Inggeris berbelanja besar pada jendela perpindahan Januari, terdesak untuk berada dalam kelompok empat teratas yang menjanjikan tiket ke Liga Juara-Juara.

    Aubameyang, 28, menandatangani kontrak dengan Gunners sehingga 2021, menjadi pemain penting kedua dibawa masuk Arsenal pada musim perpindahan Januari selepas Henrikh Mkhitaryan berpindah dari Manchester United.

    Ketibaannya akan menambah pilihan Arsene Wenger di bahagian serangan selepas pemergian Alexis Sanchez ke United yang bertukar tempat dengan Mkhitaryan namun ia menimbulkan persoalan mengenai masa depan Alexandre Lacazette bersama Gunners.

    Penyerang prolifik Aubameyang membandingkan dirinya dengan legenda kelab Thierry Henry, memberitahu dia tertarik dengan sejarah hebat kelab itu yang bagaimanapun tersungkur apabila tewas 1-3 kepada Swansea dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

    Chelsea kemudiannya mengumumkan ketibaan penyerang Arsenal Giroud dengan kontrak selama 18 bulan bernilai sekitar £18 juta (RM99.7 juta) manakala Michy Batshuayi dipinjamkan ke Borussia Dortmund sehingga akhir musim ini.

    Giroud, 31, pemain Perancis itu sukar mendapatkan tempat di kesebelasan utama sejak menyertai Arsenal pada 2012, berkata dia teruja menyertai pasukan lawan.

    Penyerang Belgium Batshuayi, 24, yang tiba di Dortmund sebagai pengganti Aubameyang, melengkapkan teka-teki tiga penjuru itu.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " EPL Sudah Belanja RM2.49 Bilion "