• Empat Lelaki Ditahan Seludup Barangan Kawalan

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan empat lelaki dipercayai cuba menyeludup keluar barangan kawalan bernilai RM4,895 melalui perairan Sungai Haji Kuning di sini, semalam.

    Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazri Ibrahim, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, empat bot jongkong dinaiki empat suspek meliputi seorang warga tempatan berusia 26 hingga 58 tahun, dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika PPM menjalankan rondaan Ops Gelora.

    Katanya, pemeriksaan mendapati sebahagian barangan disembunyikan di bahagian bawah bot bagi mengaburi pasukan keselamatan.

    "Hasil pemeriksaan menemui 120 kilogram (kg) gula pasir, 350kg tepung gandum, 340 peket minyak masak dan 20 tong gas petroleum cecair (LPG) di dalam bot itu.

    "Semua barangan terbabit dipercayai cuba diseludup ke negara jiran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Mohd Nazri berkata, juragan bot berkenaan juga gagal menunjukkan sebarang dokumen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai kelulusan untuk mereka membawa barang kawalan terbabit.

    "Semua barangan, termasuk empat bot jongkong dan empat enjin bernilai RM56,895, dirampas serta dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Empat Lelaki Ditahan Seludup Barangan Kawalan "