• Elaun SL1M Kini RM2,000 Sebulan

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 25 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan elaun Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dinaik­kan daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan.

    Selain akan memberi lebih motivasi kepada pelatih, katanya, beliau juga memahami keperluan mereka yang kebanyakannya datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

    Perdana Menteri berkata, Ke­tua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail telah berbisik kepadanya untuk mengumumkan sesuatu sebagai 'hadiah’ kepada pelatih SL1M.

    “Apabila saya turun kereta di MAEPS, saya dibisikkan oleh Norashikin Ismail supaya dapat mengumumkan sesuatu sebagai hadiah kepada semua (peserta SL1M).

    “Mudah-mudahan apa yang kita hendak adalah generasi muda ini akan bersama-sama dengan kita untuk mencorak masa depan negara,” katanya ketika merasmikan Program Temu Duga Terbuka SL1M 2018 Peringkat Zon Tengah di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

    Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Richard Riot serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

    Najib turut menyifatkan SL1M sebagai ‘anak kunci’ yang berfungsi membuka peluang kehidupan lebih baik kepada generasi muda melalui peluang pekerjaan yang disediakan.

    Perdana menteri berkata, rajin, bersemangat dan bercita-cita sahaja tidak mencukupi tanpa ‘anak kunci’ yang biasanya tersedia melalui dasar yang disediakan kerajaan.

    Secara asasnya, beliau berkata, setiap kejayaan sama ada oleh generasi muda atau taikun perniagaan mempunyai kaitan de­ngan dasar yang diperkenalkan kerajaan dalam menyediakan peluang-peluang kepada rakyat bagi memajukan kehidupan.

    “Selain keinginan dan potensi besar yang dimiliki, kejayaan yang dinikmati rakyat dan negara adalah disebabkan kerajaan yang ada hari ini telah meletakkan dasar-dasar yang baik untuk kemajuan warganya,” katanya.

    Najib menambah, salah satu komitmen dan tanggungjawab Barisan Nasional telah ditunaikan menerusi manifesto parti lima tahun dahulu iaitu mewujudkan peluang pekerjaan.

    Sejak 2009, kata Perdana Menteri, sebanyak 2.6 juta peluang pekerjaan berjaya diwujudkan kerajaan.

    SL1M diperkenalkan sejak 2011 dan kini sudah melatih 140,000 graduan.

    Difahamkan, kadar elaun baharu itu akan berkuat kuasa tahun ini selepas kerajaan berbincang dengan sektor industri yang akan memberi manfaat kepada lebih 25,000 peserta baharu SL1M yang menjalani latihan sejak Ja­nuari lalu.-UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Elaun SL1M Kini RM2,000 Sebulan "