• Elak Risiko Serangan Siber

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius ancaman serangan siber sejajar dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi di negara ini.

    Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata kebergantungan terhadap penggunaan teknologi maklumat bagi pembangunan sosioekonomi mampu menimbulkan ancaman dan serangan siber sekiranya tidak dilindungi.

    "Berdasarkan statistik Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), sebanyak 7,962 kes ancaman siber dilaporkan sepanjang tahun lalu.

    "Kita sedar, pembangunan industri masa kini berlandaskan ekonomi digital dan cabaran untuk menangani ancaman ini semakin sukar.

    "Bagaimanapun, kita akan bantu membangunkan penyelidikan dan pembangunan inkubasi keselamatan siber supaya kekal kompetitif, sekali gus mewujudkan lagi lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Efficient E-Solutions New Regional Cybersecurity Venture di Hotel Hilton, di sini.

    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Efficient E-Solutions Berhad, Victor Cheah.

    Sementara itu, Amirudin berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman serangan siber dan negara menduduki tempat ketiga dalam kalangan 193 negara di dunia dari segi komitmen untuk keselamatan siber berdasarkan Indeks Keselamatan Siber Global (GCI) 2017.

    "Ini membuktikan negara kita memiliki infrastruktur dan transformasi digital yang semakin maju membabitkan sektor perbankan dan teknologi.

    "Bagaimanapun, kita guna inisiatif dengan mengurus dan meminimumkan impak postif serta negatif untuk mengurangkan kadar ancaman.

    "Ancaman ini boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa. Kita perlukan kerjasama semua pihak untuk meningkatkan kesedaran umum berhubung isu ini," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Elak Risiko Serangan Siber "