• Eksesais Perang Borneo Capai Matlamat

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+

    SANDAKAN: Eksesais Perang Borneo di perairan Laut Sulu di sini, semalam, mencapai matlamat bagi menguji kemampuan dan kesiapsiagaan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menghadapi peperangan tidak terjangka khasnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

    Latihan itu adalah yang pertama tahun ini dan kali kedua dikoordinasikan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2).

    Panglima MAWILLA 2 TLDM, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, latihan itu membabitkan lima kapal TLDM iaitu Kapal Auksiliari (KA) Tun Azizan, Kapal Diraja (KD) Todak, KD Baung, KD Sri Johor dan KD Sri Perlis, selain bot tempur CB 90 dan bot pemintas Silverbreeze.

    Beliau yang turut mengikuti pelayaran berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan kapal TLDM dan kecekapan kru dalam menghadapi pelbagai senario peperangan terutama ancaman di permukaan air.

    Menurutnya, eksesais itu sangat berkesan sebagai persediaan menghadapi situasi perang sebenar seiring keperluan semasa.

    “Selain itu, ia selaras keperluan operasi iaitu penumpuan tinggi terhadap latihan operasi yang berterusan bagi mencapai hasrat melahirkan warga ‘Navy People’ bertaraf dunia.

    “Ia juga mempamerkan komitmen TLDM memastikan keselamatan ESSZONE berada pada tahap tertinggi, selari matlamat perpindahan MAWILLA 2

    ke Sandakan yang membolehkan sebarang tindakan keselamatan sama ada bersifat cegah rintang atau tindakan susulan dapat diambil secara lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

    Abdul Rahman berkata, MAWILLA 2 menerusi koordinasi pasukan Peperangan Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) di Kota Kinabalu turut merancang mengadakan beberapa lagi siri eksesais Perang Borneo tahun ini.

    Eksesais bermula jam 7 pagi kelmarin dengan Latihan Pertahanan Pangkalan di Pangkalan TLDM Sandakan membabitkan simulasi serangan musuh terhadap kawasan strategik di daratan, disusuli kapal TLDM diarahkan ke laut bagi menghadapi ancaman pertempuran di perairan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Eksesais Perang Borneo Capai Matlamat "