• Eh Kenapa Gerak 'Sendiri'?

    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    Lelaki terkedu melihat kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux miliknya tiba-tiba bergerak sendiri sebelum menyedari ia sedang dilarikan pencuri di Sungai Tatan Teru, Jalan Lapok, Miri, malam kelmarin.

    Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa berusia 53 tahun berada di ladang sawit miliknya, manakala kenderaan berkenaan diletakkan di pintu masuk ladang.

    Menurut sumber, mangsa kemudiannya melihat sebuah kenderaan yang tidak dikenali tiba-tiba berhenti di luar pagar ladang berhampiran kenderaannya itu.

    Bagaimanapun, mangsa tidak mengesyaki apa-apa sehingga mangsa mendengar enjin kenderaannya dihidupkan dan mendapati kenderaannya tiba-tiba mengundur ke belakang.

    "Mangsa kemudiannya bergegas berlari menuju ke kenderaannya dan terkejut melihat seorang individu sedang memandu kenderaannya itu sebelum bertindak mengejar suspek.

    "Bagaimanapun, cubaan mangsa gagal selepas suspek memecut laju menuju ke arah Lapok," katanya.

    Sumber berkata, mangsa bukan sahaja kehilangan kenderaannya, malah turut kerugian wang tunai RM2,500 dan dua telefon bimbit yang diletakkan di dalam kenderaan itu.

    Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu.

    Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan laporan itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.-myMetro
  • No Comment to " Eh Kenapa Gerak 'Sendiri'? "