• Duti Setem Ke Atas Saham Permodalan Sederhana Dan Kecil Dikecualikan Bagi 3 Tahun - PM

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Duti setem ke atas saham syarikat permodalan sederhana dan kecil yang didagangkan di Bursa Malaysia akan dikecualikan bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa Mac 2018.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengiktirafan nilai dengan lebih baik lagi dan kedinamikan segmen ini dalam pasaran saham.

    "Syarikat permodalan sederhana dan kecil menyumbang lebih satu pertiga daripada syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan permodalan pasaran berjumlah sebanyak RM217 bilion."

    Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bersama Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Tan Sri Ranjit Ajit Singh pada Simposium Pasaran Modal Dunia (WCMS) 2018 hari ini

    "Ini merupakan segmen paling penting dalam pasaran saham kita yang akan membuka laluan bagi syarikat besar, lebih banyak aktiviti korporat dan nilai pelaburan yang lebih besar bagi pelabur," katanya dalam ucap tama beliau pada majlis pembukaan Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 yang berlangsung selama dua hari.

    Setakat ini, terdapat lebih 350 syarikat permodalan sederhana dan kecil tersenarai di Bursa Malaysia.

    Najib juga mengumumkan kerajaan telah memulakan perbincangan menyeluruh dengan Suruhanjaya Sekuriti, di mana, kedua-dua pihak memutuskan untuk mengambil langkah bagi merancakkan lagi pasaran.

    "(langkah-langkah itu), peraturan pembiayaan margin, akan diliberalisasikan untuk menjadikan pasaran kita lebih menarik, (selain), membenarkan jualan singkat harian, kepada semua pelabur," katanya.

    Beliau juga berkata satu kategori baharu peniaga, dikenali sebagai Pakar Dagangan akan diperkenalkan, selain daripada program insentif berasaskan jumlah dagangan oleh bursa, bagi memangkinkan aktiviti dagangan yang lebih besar.

    Semua pelabur baharu akan diberikan pengecualian yuran bagi dagangan dan penjelasan bagi tempoh enam bulan untuk menggalakkan lebih ramai peserta berdagang dalam pasaran kita, kata Najib.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Duti Setem Ke Atas Saham Permodalan Sederhana Dan Kecil Dikecualikan Bagi 3 Tahun - PM "